Masih ramai pemandu tidak dilindungi daripada kerosakan akibat banjir

Iklan
Kaji selidik Zurich Malaysia mendapati lebih daripada separuh pemandu Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Kaji selidik Zurich Malaysia mendapati lebih daripada separuh pemandu Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.

Menurut Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan yang dikendalikannya di seluruh negara mendapati, 59 peratus pemandu Malaysia masih tidak dilindungi untuk kerosakan akibat banjir.

Iklan
Iklan

"Pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan beranggapan bahawa mereka tidak akan terjejas.

"Ini membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh, seperti musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Zurich Malaysia berkata, selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang pengguna jalan raya Malaysia tidak bersedia menghadapinya.

"Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34 peratus) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang, dan hanya 29 peratus dilindungi untuk tanah runtuh," katanya.

Iklan

Kaji selidik ini juga mendapati, dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian kerana 38 peratus daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.

Namun begitu, portal dalam talian adalah kaedah yang paling popular dengan 43 peratus daripada pengguna jalan raya menggunakannya, tambah kaji selidik itu.

Sementara itu, Zurich Malaysia berkata, 16 peratus daripada rakyat Malaysia memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos bagi memperbaharui insurans atau takaful kenderaan mereka.

Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36 peratus), dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34 peratus).

"Sesetengah rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan semata-mata untuk memiliki insurans atau takaful kenderaan yang sah supaya dapat memperbaharui cukai jalan.

"Ini kerana 47 peratus daripada responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan mereka," jelasnya.

Kaji selidik ini yang dikendalikan pada September 2021, melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara dengan 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan. - Bernama