369 individu ditahan dalam Op Sarang di Perak

Iklan
Operasi turut menyita beberapa jenis kenderaan dalam Op Sarang Khas Bersepadu dijalankan di seluruh negeri ini sejak Ahad lalu.

IPOH - Remaja lelaki berusia 13 tahun antara 369 penagih dan pengedar dadah yang ditahan dalam Op Sarang Khas Bersepadu dijalankan di seluruh negeri Perak sejak Ahad lalu.

Operasi dijalankan selama tiga hari itu telah menyerbu 11 sarang penagih dan merampas beberapa jenis dadah bernilai lebih RM33,800.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang ditahan terdiri 364 lelaki dan lima wanita dengan 30 daripadanya warga asing masing-masing berusia lingkungan 13 hingga 60 tahun.

Menurutnya, hasil daripada tangkapan itu, seramai 47 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 140 individu kerana memiliki dadah dan 181 lagi bagi kesalahan penagih.

Iklan

"Dalam operasi sama, polis berjaya menangkap seorang lelaki di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LPLK) 1985 dan 11 individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki.

"Antara dadah yang dirampas termasuklah jenis heroin seberat 649.22 gram, syabu (81.51 gram), ganja (51.32 gram), lapan biji pil eramin 5, ekstasi (3.33 gram), tiga liter air ketum dan sembilan kilogram daun ketum," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Mior Faridalathrash berkata, turut disita adalah beberapa kenderaan dan wang tunai bernilai RM13,6000.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak," katanya.

Beliau berkata, operasi disertai 400 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak bersama 30 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu menyasarkan penagih dan pengedar dadah yang aktif di semua lokasi yang telah dikenalpasti.

Katanya, kerjasama erat antara masyarakat dan agensi penguat kuasa diperlukan bagi membolehkan polis terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini.

"Pelaksanaan operasi ini diharap dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap kehadiran penagih di kawasan setempat," katanya.