Tanah runtuh: Bomba kesan pergerakan baharu

Iklan
Jalan tapah-Cameron Highlands ditutup sepenuhnya bermula Selasa sehingga kerja membersihkan runtuhan tanah yang berlaku semalam selesai.

Cameron Highlands - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan pergerakan tanah baharu di beberapa kawasan di sekitar Tanah Rata di sini pada Selasa, selepas berlakunya insiden tanah runtuh dan pokok tumbang petang semalam.

Ketua Zon 3 JBPM Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara khusus dan pemeriksaan dengan teliti sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua pihak dan penduduk sekitar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, insiden pokok tumbang masih berlaku di sekitar kawasan Tanah Rata dan Simpang Pulai iaitu di Jalan Tengkolok di sini petang tadi serta pokok tumbang di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang berlaku pagi tadi.

"Kerja-kerja pembersihan dijalankan dan laluan trafik dibuka untuk semua jenis kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Mohd Shamsuri Mohd Nor semasa dihubungi memberitahu, pihaknya dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah melakukan pemantauan dan mengawal lalu lintas di kawasan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang itu.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk berkaitan keselamatan atau kerosakan harta benda akibat kejadian semalam.

Iklan

"Kita juga ingin menasihatkan pengunjung yang bercuti ke sini supaya sentiasa berhati-hati ketika musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, musim tengkujuh yang berlaku ketika ini tidak merencatkan aktiviti pelancongan di sini apabila tinjauan mendapati berlaku sedikit kesesakan apabila banyak kenderaan dilihat menuju dari arah Simpang Pulai menghala ke kawasan tanah tinggi itu.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, 30-an, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya datang bercuti ke pusat peranginan tanah tinggi itu sejak Ahad lepas mengakui agak terkejut dengan kejadian petang semalam.

"Semalam memang hujan sangat lebat dan semasa kejadian itu kami hanya tinggal di bilik hotel sahaja kerana takut hendak ke mana-mana dan apabila keluar untuk mencari makanan saya dapat lihat banyak pokok tumbang berlaku di merata tempat,” katanya yang tinggal di Alor Setar, Kedah.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi pokok tumbang dan tanah runtuh mendapati, pihak berkuasa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan selain pemasangan tanda amaran serta penutupan jalan demi keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Tanah runtuh: Jalan Tapah-Cameron Highlands ditutup sementara