KELAB Badminton (BC) Rawang menyasarkan kedudukan podium pada saingan Top Glove Purple League Pro-AM dan AEON Credit Liga Purple Remaja yang bakal membuka tirai pada 21 Disember serta 9 Januari tahun depan.
Pengurus Pasukan Rawang BC, Jeyaselan Anthony berkata, meskipun sedar akan mendapat saingan yang sengit daripada beberapa pasukan lain seperti Ampang Jaya BC, namun pihaknya percaya para pemain akan beraksi sebaik mungkin untuk memberi cabaran kepada pasukan lain seterusnya merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
"Kami bukan pasukan yang datang ke kedua-dua pertandingan ini untuk bertanding. Kami kelab yang mempunyai cita-cita besar.
"Walaupun kita tahu ada beberapa pasukan kuat seperti Ampang Jaya dan beberapa pasukan lagi, kami mahu habiskan kedua-kedua kejohanan ini dalam kedudukan podium.
"Saya yakin bahawa barisan pemain Rawang BC akan memberikan yang terbaik buat pasukan. Ini boleh dilihat semasa sesi pemilihan apabila ramai pemain muda telah menunjukkan potensi mereka dan tidak sabar untuk beraksi menjelang kejohanan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tajaan oleh agensi media dan perhubungan awam sukan terkemuka negara, ShekhinahPR dan pelancaran jersi pasukan di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur pada Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj dan Ketua Pegawai Operasi Purple League, Ho Khek Mong.
Sementara itu pada majlis sama, Christopher mengumumkan tajaan dan sokongan ShekhinahPR kepada Rawang BC buat tahun keempat berturut-turut dengan nilai tajaan keseluruhan RM35,000 termasuk RM10,000 untuk 2021.
Menurut beliau, pihaknya telah mengikuti perkembangan Rawang BC sejak beberapa tahun yang lepas dan gembira melihat kemajuan pasukan tersebut yang mana bukan sahaja di dalam gelanggang tetapi juga di luar gelanggang.
"Ini yang mendorong kami untuk menyokong Rawang BC bagi tahun keempat berturut-turut.
"Sebagai peminat sukan badminton, sangat penting untuk kami memainkan peranan membantu mereka dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Saingan Top Glove Purple League Pro-Am yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 21 hingga 26 Disember akan menampilkan 10 pasukan yang akan membariskan pemain pemain bawah 23 tahun.
Kejohanan tersebut akan dijalankan dalam format round robin dengan 2 pasukan setiap kumpulan akan beraksi di peringkat separuh akhir.
Bagi AEON Credit Liga Purple Remaja pula, pusingan pertama akan dilangsungkan pada 9 hingga 10 Januari 2022 di Melaka, diikuti pusingan kedua pada 15 hingga 16 Januari di Kampar.
Pasukan yang berjaya menduduki tempat teratas di peringkat kumpulan pula akan bersaing di dalam pusingan ketiga di Cheras pada 22 hingga 23 Januari sebelum peringkat akhir dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 20 Februari 2022.