MA63: Harapan pemimpin awal pembangunan Sarawak setaraf Semenanjung

Iklan
Rita Sarimah

KUCHING - Pemimpin awal Sarawak yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mengharapkan keputusan mereka itu akan dapat membolehkan Sarawak mencapai pembangunan yang setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Patrick Insol, perjanjian yang ditandatangani lima pihak terdiri dari Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu, telah menjadi harapan supaya pembangunan di Bumi Kenyalang, dipercepatkan.

Iklan
Iklan

"MA63 sebenarnya syarat-syarat untuk menubuhkan Malaysia, jadi daripada kita di Sarawak, kita hendakkan syarat-syarat tersebut dilaksanakan, kerana ia mempunyai impak kepada pembangunan di Sarawak,” katanya dalam program Bernama TV"Janji Temu Bersama Ras” yang dikendalikan Pengerusi Bernama, Datuk Ras Adiba Radzi malam Selasa.

Menurut Rita, aspirasi ini disebut dalam Laporan Cobbold yang dibentangkan sebelum MA63 dimeterai, bagi mendapatkan pandangan rakyat Sarawak ketika itu, dalam menyatakan persetujuan mereka untuk meneruskan cadangan penggabungan untuk menubuhkan Malaysia.

Iklan

"Dari segi hubungan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan, apa yang boleh dibuat oleh kerajaan Persekutuan untuk membawa Sarawak ke tahap negeri yang maju. Selain daripada itu, kerajaan Sarawak juga mengambil tindakan dari sumber-sumber yang ada untuk memajukan Sarawak,” katanya.

Rita berkata, tindakan kerajaan Sarawak dalam tempoh 20 tahun yang lepas, telah menunjukkan kejayaannya untuk tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber-sumber aslinya yang ada, dengan beransur-ansur meningkatkan aktiviti-aktiviti perindustriannya.

Iklan

"Kalau dahulu kita bergantung kepada sumber-sumber asli semata-mata, tetapi sekarang kita sudah ada industri dan membangunkan industri yang banyak nilai tambahnya, untuk melonjakkan perkembangan ekonomi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, permuafakatan yang berjaya diwujudkan di antara kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan, menerusi pembentukan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat memastikan syarat-syarat di bawah MA63 itu dilaksanakan.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini, untuk membentangkan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan di Parlimen pada hujung tahun ini.

"(Melalui pindaan ini) dapatlah minda kita rakyat Malaysia (untuk) tahu bahawa Sabah dan Sarawak ini, kedudukannya adalah wilayah yang setaraf dengan (seluruh) Semenanjung Malaysia,” tambah Rita. - Bernama