Banjir: Dua PPS di Hulu Langat masih beroperasi

Iklan
Keadaan kawasan rumah penduduk yang dilanda banjir kilat.

AMPANG - Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Pangsapuri Desa Lembah Permai dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kampung Pandan Indah yang menempatkan mangsa banjir di Hulu Langat masih beroperasi setakat Rabu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad berkata, walaupun air sudah surut mangsa masih ditempatkan di PPS berkenaan disebabkan kebanyakan rumah terlibat dalam operasi pembersihan.

"Kebanyakan mangsa memerlukan masa mengemas dan mencuci lumpur yang tempohnya tidak dapat disiapkan dalam masa sehari.

Iklan

"Alat seperti water jet diperlukan untuk membersihkan lumpur selain menggantikan perkakasan rumah yang rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ani (kanan) meninjau lokasi terjejas banjir kilat.

Iklan

Dalam kejadian pada malam Isnin lalu, 162 keluarga terkesan insiden banjir kilat susulan hujan lebat melanda Lembah Klang.

Ani berkata, operasi pembersihan dibantu oleh pihak sukarelawan dan Skuad Pantas dari pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor serta pasukan bomba.

Skuad Pantas turut membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan penilaian daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung tempoh operasi PPS terlibat.

"Setakat pagi ini, PPS masih beroperasi, mungkin ditutup dalam masa terdekat jika tiada keperluan. Namun setakat ini PPS masih diperlukan untuk kemudahan mangsa berehat dan menempatkan barangan sumbangan daripada orang ramai.

"PPS diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan penjarakan setiap kubikal seperti yang disyorkan oleh pejabat kesihatan sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19," katanya.