KUANTAN - Seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas 38 tuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat bernilai lebih RM1.28 juta kira-kira empat tahun lalu.
Tertuduh, Ng Siew Eng, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, tertuduh yang diamanahkan dalam urusan kewangan didakwa menyalahgunakan wang syarikat untuk kepentingan diri sendiri.
Tertuduh didakwa mengeluarkan 38 keping cek bernilai antara RM3,730 hingga RM110,036 atas nama diri sendiri, suami dan dua anak selain digunakan untuk membayar hutang kad kredit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga Oktober 2018 di pejabat syarikat di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.
Pendakwaan dijalankan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM38,000 dengan dua syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan hingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan.
Dalam rayuannya, Shah Rizal berkata, anak guamnya sudah tidak bekerja selain menghidap masalah asma dan jantung.
Menurutnya, tertuduh yang masih menjalani rawatan susulan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang proses siasatan.
Pada masa sama, tertuduh yang menetap di Shah Alam, Selangor juga terpaksa mengeluarkan kos agak tinggi untuk berulang-alik ke Kuantan bagi mengikuti proses perbicaraan akan datang.
Mengambil kira rayuan tertuduh, mahkamah mengurangkan jaminan itu kepada RM36,400, manakala 6 Januari 2022 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.