Penunggang motosikal maut dalam nahas libat tiga kenderaan

Iklan
Penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 68, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 68 Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian membabitkan dua lagi kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Nissan UD.

Menurutnya, pemandu Perodua Myvi bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Nissan UD selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan berkenaan kemalangan di tempat kejadian menerusi talian, sebelum terus ke bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak.

"Semasa di lokasi kejadian, pasukan mendapati terdapat kemalangan melibatkan tiga kenderaan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, komander operasi kemudian melaporkan bahawa terdapat seorang penunggang motosikal telah meninggal dunia dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pemandu kereta yang cedera dibawa ke hospital oleh kakitangan KKM, manakala pemandu lori berusia lingkungan 20-an terselamat tanpa sebarang kecederaan," ujarnya.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Guar Chempedak seterusnya bertindak membersihkan jalan selepas operasi menyelamat selesai bagi memastikan lokasi tersebut selamat digunakan orang awam.

Katanya, operasi disertai lapan anggota BBP Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan II Sezali Hassan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.