New Zealand rancang buka sempadan secara berperingkat Januari 2022

Iklan
Foto 123rf

WELLINGTON - Penduduk New Zealand yang sudah lengkap divaksin akan dibenarkan pulang dengan syarat yang lebih mudah mulai Januari 2022, diikuti warga asing pada April dan seterusnya, selepas kerajaan menghapuskan keperluan pengurusan kuarantin dan pengasingan (MIQ) untuk kebanyakan pengembara, kata Menteri Tindakan Covid-19 Chris Hipkins pada Rabu, lapor Xinhua.

Warganegara yang divaksin sepenuhnya dan pengembara lain yang layak boleh memasuki New Zealand dari Australia tanpa perlu menjalani MIQ mulai 11.59 malam waktu tempatan pada 16 Januari 2022, menurut rancangan yang diumumkan oleh Hipkins pada sidang akhbar.

Iklan
Iklan

Sempadan juga akan dibuka kepada rakyatnya dan pengembara lain yang layak dari semua negara lain mulai 11.59 malam waktu tempatan pada 13 Februari 2022, jelas Hipkins, sambil menambah semua individu yang lengkap divaksin boleh melakukan perjalanan ke New Zealand mulai 30 April 2022 dan seterusnya, dengan pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat.

Menurut beliau, dasar MIQ digantikan dengan kuarantin diri mandatori tujuh hari.

Iklan

Bagaimanapun, pengembara masih perlu menunjukkan keputusan negatif bagi saringan yang dibuat sebelum berlepas, bukti telah divaksin sepenuhnya, pengisytiharan sejarah perjalanan, ujian 0/1 hari semasa ketibaan, keperluan untuk melakukan kuarantin kendiri selama tujuh hari, dan ujian akhir yang negatif sebelum menyertai komuniti, mengikut strategi pembukaan semula kerajaan.

"Sempadan merupakan risiko terbesar kami untuk kes baharu," kata Hipkins, sambil menyebut pandemik semasa dikaitkan dengan pembukaan sempadan, dengan lebih 7,000 kes berpunca daripada seorang pengembara yang melakukan perjalanan dari Australia ke New Zealand.

Iklan

Pendekatan berperingkat mengurangkan potensi impak jangkitan kepada masyarakat dan sistem kesihatan New Zealand, katanya, sambil menambah maklumat lanjut mengenai cara kuarantin kendiri akan dilaksanakan pada Disember, termasuk panduan pelaksanaannya sebaik sahaja pengembara tiba di lapangan terbang.

Pada Rabu, New Zealand melaporkan 215 kes baharu komuniti bagi varian Delta Covid-19. -Bernama