KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan eksport perabot kayu-kayan meningkat dua kali ganda kepada RM24 bilion pada tahun depan selain turut menerokai pasaran baharu di Asia Tengah, Timur Tengah dan Ocenia.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian yakin usaha terbabit dapat dicapai selain memastikan aspek berkaitan seperti pekerja mencukupi serta kecekapan pengurusan dan kewangan dana.
"Kita akan ke pasaran baharu perabot kayu-kayan di Asia Tengah, China, India, Timur Tengah dan Ocenia serta Australia dan New Zealand yang sememangnya menjadi sasaran pasaran (bagi tahun depan).
"Sasaran eksport itu dijangka meningkat dua kali ganda berikutan sokongan dalam memastikan aspek seperti tenaga kerja mencukupi dan pengurusan kewangan yang cekap. Insya-ALLAH kita dapat tingkatkan pendapatan hasil daripada industri kayu ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Inkubator Reka Bentuk TIMB3R (TIMB3R DIP) 2.0 dan Hackathon di sini, pada Rabu.
Biarpun berlaku pandemik Covid-19, nilai eksport kayu-kayan negara dan produk berasaskannya bagi tempoh Januari-Ogos 2021 berjumlah RM14.3 bilion manakala lima produk utama eskport adalah perabot kayu (RM6.6 bilion), papan lapis (RM2 bilion), kayu bergergaji (RM1.5 bilion), kayu tanggam dan pertukangan atau BJC (RM606 juta) dan papan gentian (RM460.7 juta).
Selain itu, lima pasaran utama eksport adalah Amerika Syarikat sebanyak (RM4.9 bilion), Jepun (RM1.9 bilion), China (RM1.6 bilion), Singapura (RM614.4 juta) dan India (RM596.8 juta).
Eksport perabot kayu Malaysia juga dijangka melebihi sasaran sebanyak RM12.5 bilion bagi 2021 dengan angka itu telah mencecah RM6.6 bilion setakat Ogos lepas.
Pada 2020, nilai eksport produk terbabit berjumlah RM10.6 bilion.
Malaysia turut disenaraikan sebagai pengeksport keenam terbesar bagi produk kayu perabot, kayu kumai dan kayu tanggam di seluruh dunia dengan nilai eksport sebanyak RM12.3 bilion pada 2020.
Sementara itu, program TIMB3R DIP 2.0 dan Hackathon itu dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bersama Majlis Perabot Malaysia (MFC) dan Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (MIID) dengan sokongan Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) serta Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputera Malaysia (PEKA).
Program itu bagi menggalakkan kerjasama antara pengusaha industri berasaskan kayu dengan kalangan pereka atau arkitek untuk menghasilkan produk kayu nilai tambah tinggi buatan Malaysia bagi pasaran antarabangsa.
Dalam program itu, pereka terbabit dipadankan dengan pihak pengeluar produk kayu dan perabot bagi bekerjasama merekabentuk dan menghasilkan prototaip produk kayu bernilai tinggi.
Usaha terbabit bertujuan menggalakkan peralihan industri perabot kayu daripada pengilang peralatan asal (OEM) kepada pengeluar reka bentuk asal (ODM) dan seterusnya menjadi jenama pengeluar asal (OBM). - Bernama