Penjenamaan semula kukuhkan peranan dan imej
Institut Koperasi Malaysia yang dahulunya menggunakan akronim IKM kini dikenali sebagai IKMa sejajar usaha memperkukuhkan peranan institut itu sebagai pusat latihan dan pembangunan modal insan koperasi di Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pindaan tersebut bertujuan untuk meningkatkan imej dan visibilitinya di mata umum agar masyarakat lebih mengenali dan memahami peranan IKMa dalam melahirkan warga koperasi yang cemerlang dan berdaya saing.
"Penjenamaan semula akronim ini dilihat sangat penting agar IKMa diperkukuhkan sebagai Pusat Latihan Modal Insan Koperasi dalam merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025.
"Di samping itu, penjenamaan ini juga sekali gus dapat menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain contohnya seperti Institut Kemahiran Mara yang turut menggunakan akronim IKM,” katanya pada majlis perasmian Seminar Bicara Ketua Eksekutif dan pelancaran Akronim Baharu Institut Koperasi Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya.
Menurutnya, IKMa diharap dapat melalui transformasi ke arah memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai satu-satunya peneraju Pusat Kecemerlangan Pembangunan Modal Insan Koperasi di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan sebanyak 14.7 peratus koperasi terpaksa ditutup ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.
"Berdasarkan kajian impak PKP 3.0 yang dijalankan pada tahun ini oleh dua agensi koperasi
iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan IKMa mendapati sebanyak 67.3 peratus koperasi sangat terkesan dan akibatnya membawa kepada 14.7 peratus koperasi terpaksa menutup operasi perniagaan.
"Dalam usaha melandaikan lekuk Covid-19 ini, gerakan koperasi perlu bersamasama dalam memerangi gejala pandemik ini dan berupaya menggerakkan semula aktiviti koperasi dengan menceburi bidang perniagaan baharu yang lebih berimpak tinggi.
"Langkah kerajaan membuka semula banyak sektor ekonomi baru-baru ini bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberikan peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penubuhan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia berada di peringkat akhir dan kemungkinan akan dilancarkan pada Julai tahun depan.
"Apabila berjaya menubuhkan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia, maka koperasi ini akan menjadi sektor terbesar dalam negara dan mampu bersaing dengan pihak swasta,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan kabinet telah meluluskan untuk menetapkan bulan Julai setiap tahun sebagai Bulan Koperasi.
"Sebelum ini, ia hanya dipanggil Hari Koperasi jadi sehari sahaja. Diharapkan melalui Bulan koperasi ini, kita dapat gerakkan koperasi dengan lebih hebat lagi,” katanya.
Program pendidikan
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, institut itu telah merancang program latihan dan pendidikan berdasarkan pembangunan modul program bersama pakar industri yang menjadi sebahagian agenda untuk tahun depan.
"Dengan keadaan Covid-19 yang melanda negara selama lebih kurang dua tahun, kami telah mengambil tindakan proaktif mempelbagaikan mod pengajaran dan pembelajaran kepada gerakan koperasi dalam dan luar negara,” katanya.
Menurutnya, ia termasuk Penganjuran Seminar Bicara Ketua Eksekutif bertajuk ‘Nafas Baharu Koperasi Era Endemik’ yang diadakan secara atas talian dan secara bersemuka Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.
"Bagi memastikan Anggota Lembaga Koperasi faham tentang maksud sebenar endemik dan bagaimana mereka terus ‘bernafas’ dalam situasi ini, kami telah menjemput para penceramah yang berpengalaman luas dalam era pandemik dan ke endemik ini untuk berkongsi maklumat dan peng-alaman mereka berdepan situasi ini.
"Diharapkan perkongsian pengalaman mereka ini akan dapat memberi inspirasi, input-input serta idea-idea baharu perniagaan dan dapat digunakan dan membantu gerakan koperasi untuk bangkit semula dalam perniagaan yang diceburi oleh koperasi,” katanya.
Seminar Bicara Ketua Eksekutif tersebut menampilkan empat penceramah iaitu Naib Pengerusi Eksekutif (Pengurusan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Siti Azlin Ahmad Dauta yang menyampaikan ceramah bertajuk Daya Tahan Perniagaan Gerakan Koperasi Era Endemik.
Pengerusi bersama Vettons Sdn Bhd, Datuk Seri Dr How Kok Choong pula menyampaikan ceramah Kunci Adaptasi Usahawan Era Endemik dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Surge, Siti Hawa Jaafar pula menyampaikan ceramah Isu Cabaran Dunia Perniagaan Era Endemik.
Ketua Pegawai Komersial Co-opbank Pertama Malaysia Bhd, Mohd Faris Kamarudin menyampaikan ceramah bertajuk Solusi Kewangan dalam Era Endemik.