Kerjasama Warisan-Muda proses peremajaan dalam kepimpinan negara

Iklan
Mohd Shafie

SEMPORNA - Kerjasama antara Parti Warisan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) disifatkan sebagai proses peremajaan dalam kepimpinan negara.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perbincangan berkaitan kerjasama dengan Muda sudah dilakukan dengan begitu terperinci.

Iklan
Iklan

"Kita sudah bincang begitu panjang dan mungkin dalam minggu depan beberapa anggota parti Warisan berbincang bagaimana perjalanan (rundingan kerjasama).

"Kerana kita sedar dan tahu Muda belum mempunyai parti yang berdaftar tetapi mereka ada ahli-ahli yang sudah sedia ada. Perkara ini anak-anak muda harus kita lahirkan landasan untuk membolehkan proses peremajaan dalam kepimpinan negara dapat kita mantapkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bahagian Warisan Semporna di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan kerjasama dengan Muda ketika ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, di negara luar pemimpinnya terdiri daripada golongan muda berusia antara 30 hingga 40-an.

Iklan

"Kita tidak boleh beranggapan kita saja yang layak, orang muda tidak layak untuk menyelamatkan negara seperti juga di tempat-tempat lain, contohnya Singapura dan Kanada.

"Jangan kita anggap bahawa orang muda ini tiada keupayaan. Ini yang kita mahu nyatakan bahawa selain memastikan kepelbagaian kaum dapat direalisasikan, kita juga merupakan satu landasan membolehkan proses peremajaan kepimpinan negara ini dapat disumbangkan," katanya.

Ditanya jika Warisan mahu melakukan penjenamaan semula untuk mengelak isu kenegerian berlaku dengan melebarkan sayap ke Semenanjung, Mohd Shafie menjelaskan, sejak awal penubuhan nama parti itu adalah Parti Warisan di dalam perlembagaan.

"Sebenarnya dari awal dalam perlembagaan namanya Parti Warisan. Itulah dalam perlembagaan jadi kita mungkin kekalkan Parti Warisan," ujarnya.