Kaji keperluan penyelidik kalangan ahli Dewan Negeri

Iklan
Mohammad Zahir berucap pada Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri anjuran Dewan Negeri Perak dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) di sini pada Rabu. -Foto: SUK Perak

IPOH - Badan perundangan di negara ini disaran mengadakan kajian berhubung keperluan ahli-ahli Dewan Negeri untuk mempunyai penyelidik secara khusus dalam membantu kerja-kerja penyelidikan.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, peranan penyelidik seumpama itu telah lama dipraktikkan di beberapa negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa kini, Dewan Negeri Perak mempunyai tiga pegawai penyelidik di Unit Penyelidikan Dewan Negeri Perak yang menjalankan kerja penyelidikan berkaitan Dewan.

"Penyelidik Dewan Negeri Perak ini turut sama menjadi sebahagian daripada sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Negeri Perak dalam memastikan kerja-kerja penyelidikan dan pelaporan dibuat dengan teliti dan teratur.

Iklan

"Oleh itu mungkin sudah sampai masanya badan perundangan seperti Parlimen mahu pun Dewan Negeri mengadakan satu kajian berhubung keperluan ahli-ahli Dewan Negeri mempunyai penyelidik secara khusus kepada mereka dalam membantu kerja-kerja penyelidikan yang gaji mereka boleh dibayar kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemerkasaan Penyelidik Dewan Negeri anjuran Dewan Negeri Perak dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform) di sini pada Rabu.

Iklan

Mohammad Zahir berkata, Dewan Negeri Perak komited untuk memperkasakan penyelidik Dewan Negeri serta pegawai-pegawai khas Ahli Dewan Negeri Perak berhubung penyelidikan yang signifikan kepada Ahli Dewan Negeri.

Katanya, usaha itu termasuklah mengalu-alukan penyelidikan daripada universiti awam atau swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan badan pemikir untuk turut sama menyumbang hasil penyelidikan mereka dalam menjadikan institusi Dewan Negeri sebuah badan perundangan yang bermaklumat.

"Hal ini amat penting dalam membuat setiap keputusan bagi kepentingan rakyat di negeri ini," katanya.

Bengkel sehari disertai lebih 80 peserta kalangan pegawai-pegawai khas Menteri Besar, Exco, Ahli Dewan Negeri serta perwakilan Dewan Belia Negeri Perak itu bertujuan memberikan pendedahan berhubung amalan terbaik penyelidikan perkhidmatan badan perundangan (legislatif).

Selain forum bersama Ahli Dewan Negeri yang menekankan pentingnya penyelidikan kepada Ahli Dewan Negeri, bengkel itu juga memberi pendedahan berhubung peranan penyelidik dalam Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Khas di beberapa negara Komanwel.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti ceramah, latihan kumpulan dalam menyediakan produk penyelidikan badan legislatif seperti analisis rang undang-undang, nota isu semasa, nota ikhtisar dan percakapan.