TEMERLOH - Seorang lelaki yang tersangkut di atas pokok kekabu di Kampung Teluk Sentang di sini diselamatkan oleh anggota bomba pada Rabu.
Mangsa yang berusia 41 tahun itu difahamkan tidak dapat turun kerana tersangkut akibat sakit di pinggang ketika melakukan aktiviti menebang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jalailuddin Abdul Mubin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.02 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota dari BBP Bukit Angin dan Temerloh bersama sebuah jentera FRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota mendapati seorang lelaki tersangkut di atas pokok dalam ketinggian kira-kira empat meter kerana mengalami sakit di bahagian pinggang.
"Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi menyelamat bagi menurunkan mangsa yang mengambil masa kira-kira 30 minit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk rawatan lanjut.