Kuota harian VTL-Land bagi 1,500 pengembara menggunakan bas: PMO

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) antara Malaysia dan Singapura yang akan bermula selari dengan pelancaran VTL-Air (Udara) pada 29 November ini adalah dihadkan kepada pengangkutan bas dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, mod pengangkutan lain untuk inisiatif itu akan disenaraikan secara berperingkat manakala jumlah peningkatan kuota harian akan ditingkatkan dari minggu ke minggu.

Iklan
Iklan

"Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Kemudahan VTL-Land boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Selain itu, mereka juga wajib divaksinasi sepenuhnya manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Iklan

Bagaimanapun, pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

Pengembara yang masuk ke Malaysia perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal, dan ia adalah wajib dilakukan sebelum membuat pembelian tiket.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk melancarkan VTL pada 29 Nov yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

"Selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang,” demikian menurut kenyataan itu.

Malaysia dan Singapura telah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang telah divaksin dan ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

Maklumat lanjut mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di laman sesawang https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/. - Bernama