PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menawarkan hadiah bernilai RM34,000 menerusi Pertandingan Video Pendek dan Pertandingan Fotografi Kita Koperasi bersempena Sambutan Jubli Emas Angkasa yang ke-50.
Presiden Angkasa, Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pertandingan tersebut bertemakan ‘Koperasi Kita Masyarakat Kita’ itu dilaksananakan bermula 24 November 2021 hingga 31 Disember 2021.
Menurut beliau, selari dengan amalan gerakan koperasi itu sendiri iaitu ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’ yang menyumbang kepada pertumbuhan organik dan memberangsangkan gerakan ini walaupun menempuh pelbagai rintangan dan cabaran ekonomi.
"Melihat semula segala pengorbanan, pencapaian dan kejayaan yang dikecapi oleh Angkasa, maka saya kira wajarlah pertandingan seperti ini dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan serta sumbangan koperasi kepada masyarakat dan negara.
"‘Koperasi Kita Masyarakat Kita’ merupakan tema yang dipilih untuk kedua-dua pertandingan ini bersesuaian dengan peranan gerakan koperasi sebagai wadah yang terbaik untuk masyarakat memperbaiki dan meningkatkan ekonomi serta taraf hidup.
"Tema ini seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan kepada agenda kebersamaan dalam usaha memulihkan aktiviti ekonomi dan mobilisasi sosial serta bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya pada majlis pelancaran Pertandingan Video Pendek dan Pertandingan Fotografi Kita Koperasi pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Mohammad Ali Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Angkasa Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Nasir Khan Yahaya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertandingan itu meliputi subtema yang menggambarkan prinsip koperasi yang ketujuh iaitu ‘Mengambil berat terhadap masyarakat’ serta selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Tambahnya, seiring dengan 50 tahun penubuhan, Angkasa komited untuk meneraju dan melaksana inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 agar institusi ini terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran masa hadapan serta berperanan sebagai instrumen pengagihan ekonomi yang adil dan saksama demi kesejahteraan untuk semua.
"Subtema yang boleh dipilih oleh peserta adalah semangat kerjasama dan perpaduan antara koperasi dengan masyarakat; Pendidikan dan pembelajaran menerusi koperasi; Peranan dan manfaat koperasi kepada komuniti setempat; Peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup; Koperasi membantu masyarakat setempat mendepani pandemik Covid-19 dan Kelestarian alam sekitar menerusi koperasi.
"Penganjuran pertandingan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Angkasa untuk mencungkil bakat, daya inovasi dan minda kreatif rakyat Malaysia di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan semangat kerjasama serta berkoperasi dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Selain itu, Abdul Fatah berkata, ramai bakat baharu akan dapat diketengah dan diserlahkan menerusi penyertaan pertandingan tersebut.
"Saya berharap pertandingan ini akan menjadi platform kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya anak-anak muda untuk menzahirkan inspirasi dan aspirasi mereka dalam mengukuhkan kesepakatan, kesepaduan dan semangat kebersamaan yang diperjuangkan oleh gerakan koperasi.
"Saya menyeru kepada warga koperasi dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai pertandingan ini. Pertandingan akan bermula 24 November 2021 sehingga 31 Disember 2021 dan terbuka untuk semua warganegara Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, johan pertandingan video pendek untuk setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta sijil manakala johan bagi pertandingan fotografi bagi setiap kategori pula akan menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil.
"Terdapat dua kategori yang dipertandingkan bagi setiap pertandingan iaitu kategori sekolah bagi mereka yang berumur 13 hingga 17 tahun dan kategori terbuka bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
"Pertandingan Video Pendek menawarkan sijil dan wang tunai sebanyak RM5,000 untuk juara, RM3,000 bagi naib juara dan RM1,500 untuk tempat ketiga dan menariknya, hadiah pilihan awam akan mendapat RM3,000.
"Bagi pertandingan fotografi RM1,500 untuk juara, RM1,000 bagi naib juara dan RM800 untuk tempat ketiga manakala hadiah pilihan awam RM500.
"Setiap penyertaan akan dihakimi oleh panel juri profesional yang dilantik Angkasa. Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Jubli Emas Angkasa iaitu: www.angkasa50.coop,” katanya.
Ujar beliau, pertandingan video pendek dan fotografi kita koperasi ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat, terutamanya anak-anak muda untuk menyelami keindahan berkoperasi dalam menyatupadu komuniti, meningkatkan taraf hidup dan membantu merapatkan jurang kekayaan serta menyemai semangat perpaduan dan kerjasama sesama insan.
"Selamat berjaya saya ucapkan kepada bakal peserta yang akan menyertai pertandingan ini. Semoga penyertaan anda akan memeriahkan lagi ulang tahun ke-50 Angkasa dan meningkatkan penghayatan terhadap nilai dan jati diri koperasi di dalam sanubari masyarakat di negara ini.
"Syabas dan tahniah kepada Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa yang diterajui Pengurus Besar, Halim Haji Ibrahim yang telah mengambil inisiatif ini untuk menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas Angkasa 2021,” katanya.