Lebih 500,000 peminjam PTPTN tidak bayar balik pinjaman

Iklan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Seramai 539,284 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September lepas, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu memaklumkan, jumlah itu adalah daripada 2,424,009 orang peminjam yang telah menamatkan pengajian dan patut mula membayar balik pinjaman mereka yang berjumlah hampir RM24.6 bilion.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu seramai 1,884,725 orang peminjam telah membuat bayaran balik dengan 751,216 peminjam telah menyelesaikan pinjaman.

"Seramai 427,861 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual bayaran balik, manakala 705,648 peminjam membuat bayaran balik namun secara tidak konsisten,” menurut kementerian itu.

Iklan

KPT menjawab persoalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu bilangan peminjam yang masih berhutang dengan PTPTN dan jumlah kewangan yang terlibat.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 30 September lepas, PTPTN meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran lebih RM64.8 bilion. - Bernama

Iklan