JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan kenyataan yang tular di media sosial berhubung kemungkinan rakyat Singapura akan diragut di daerah ini apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih berhubung perkara itu.
Beliau berkata, secara keseluruhan, indeks jenayah di Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes iaitu 39.67 peratus dan berada dalam keadaan terkawal.
"Kes samun ragut di Johor bagi tempoh sama juga mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lepas. Begitu juga kes curi motosikal yang menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Ayob Khan memberitahu, bagaimanapun, pihaknya akan terus bertindak secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah sekali gus memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa jua perkara yang ditularkan dan perlu menyemak terlebih dahulu bagi mendapatkan kesahihan maklumat.
Sebelum itu, kenyataan tersebut mendakwa terdapat beratus-ratus pencuri yang menaiki motosikal di daerah ini bersedia untuk meragut pelancong dari Singapura apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula dan antara lain mendakwa polis tidak akan mengambil tindakan berikutan terdapat terlalu banyak pencuri di Johor. -Bernama