WASHINGTON - Hanya 100 daripada lebih 28,000 rakyat Afghanistan yang memohon kemasukan sementara ke Amerika Syarikat (AS) atas sebab kemanusiaan diluluskan setakat ini.
Ribuan warga negara Asia Selatan itu yang melarikan diri ketika pengunduran berperingkat pakatan tentera asing diketuai Amerika pada Ogos lalu masih menunggu proses semakan yang dilakukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) di Washington.
Menurut laporan agensi bantuan itu, kumpulan terbabit kini menagih janji untuk mendapatkan tempat di bawah program tersebut, namun kebanyakan permohonan kini berada dalam senarai menunggu dan berdepan ketidakpastian sejak lebih dua bulan lalu.
Difahamkan, program parol kemanusiaan itu membenarkan warga asing memasuki negara berkenaan untuk tempoh tidak melebihi 12 bulan yang biasanya diberikan kepada individu yang memerlukan rawatan perubatan segera atau melawat ahli keluarga yang sakit.
Jika mahu menetap di Washington melebihi tempoh tersebut, individu berkenaan dikehendaki memohon suaka atau status imigresen tetap.
Menerusi surat dihantar kepada pentadbiran Presiden Joe Biden pada Sabtu, lebih 100 kumpulan bantuan dan firma guaman menyatakan mereka akan mengemukakan kira-kira 30,000 parol kemanusiaan bagi pihak warga Afghanistan.
Jelasnya, parol kemanusiaan menjadi pilihan golongan itu kerana syarat lain untuk memasuki AS termasuk visa atau pemprosesan migran dijangka mengambil masa lebih panjang selama beberapa tahun.
Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Kerakyatan dan Imigrasi AS (USCIS), Victoria Palmer mengesahkan mereka sedang menyemak permohonan berkenaan.
"USCIS menerima kurang daripada 2,000 permohonan di bawah program itu dan hanya meluluskan kira-kira 500 pemohon setahun sejak lebih 36 bulan lalu.
'Bermula 1 Julai lalu, kami hanya memberi kelulusan kepada 93 permohonan rakyat Afghanistan. Sebahagian daripadanya masih terkandas di Kabul manakala beberapa yang lain sudah tiba di negara ketiga dan menunggu proses selanjutnya," ujarnya.
Ketika ini, kempen menolak kemasukan warga Afghanistan sama ada di bawah program parol kemanusiaan atau permohonan suaka semakin meningkat di AS.
Pada bulan lalu, bekas Presiden Donald Trump dengan biadab melabel golongan itu sebagai 'pengganas' dan membuat tuduhan melulu kononnya terdapat 'orang jahat' dalam kumpulan yang dipindahkan dari Kabul.
"Kumpulan dari Afghanistan yang terlibat proses penempatan semula itu adalah yang paling teruk kerana tiada proses pemeriksaan yang sewajarnya," kata bilionair hartanah itu dengan lantang kepada Fox News.
Penolakan kemasukan warga Afghanistan itu turut disokong 16 senator Republikan yang menandatangani surat mendakwa prosedur pemeriksaan ke atas golongan tersebut tidak memadai untuk melindungi negara berkenaan.
Senator Tom Cotton yang senada dengan Trump juga mendakwa kononnya tiada tapisan keselamatan terhadap warga Afghanistan.
Kebimbangan yang semakin meningkat menyebabkan pentadbiran Biden mungkin mempertimbangkan untuk menghantar pulang sebahagian daripada mereka ke Kabul jika gagal melepasi proses pemeriksaan yang ketat.
Peguam imigresen berpusat di California, Spojmie Ahmady Nasiri menyifatkan program itu agak 'kucar-kacir' kerana tiada rancangan teratur dan proses itu sememangnya huru-hara sejak dari awal.
"Golongan itu telah berdepan kesukaran sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul kerana terpaksa berasak-asak untuk mendapat tempat dalam pesawat yang membawa kumpulan dipindahkan.
"Kebanyakannya masih trauma dan nasib mereka terus menjadi tanda tanya," jelasnya.
Pengarah Dasar Projek Bantuan Pelarian Antarabangsa (IRAP), Sunil Varghese juga berpendapat masalah itu timbul kerana rancangan penempatan semula itu kurang penyelarasan.
"Kita tidak dapat melihat pelan terperinci tentang bagaimana untuk memindahkan golongan itu ke AS terutamanya mereka yang layak di bawah program kemanusiaan," katanya.
AS dengan angkuh percaya kononnya ia telah menamatkan perang paling lama yang berlarutan selama 20 tahun di Afghanistan walaupun banyak pihak melihat ia sebagai misi yang gagal kerana telah memburukkan lagi bencana kemanusiaan di negara tersebut. - Agensi