Parti politik masih tidak serius wujudkan akta lompat parti

Iklan
Awang Azman ketika menjadi panelis program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'PRN Melaka Bayangan PRU15?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

SHAH ALAM - Parti politik di Malaysia dilihat masih tidak serius untuk mewujudkan dua akta penting bagi memastikan kestabilan dan ketelusan pentadbiran negara iaitu undang-undang berkaitan lompat parti dan pendanaan politik.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kesemua parti politik negara dilihat seakan-akan cuba melengahkan usaha untuk merealisasikan undang-undang terbabit.

Iklan
Iklan

"Saya berasa sedikit ragu dengan komitmen parti-parti politik ini.Satu dari segi untuk mengadakan undang-undang anti lompat parti.. Kenapa perlu diperlahankan. Adakah mereka cuba membuka ruang supaya ada ahli politik melompat ke arah mereka.

"Begitu juga dengan undang-undang pendanaan politik. Mengapa tidak pernah diselesaikan sama ada oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN). Seolah mereka ada kepentingan yang mereka nak lengah-lengahkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika etika menjadi panelis program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'PRN Melaka Bayangan PRU15?' yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Turut bersama dalam program yang diacarakan oleh Dr G Manimaran ialah Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil.

Iklan

Awang Azman berkata, sudah tiba masanya untuk kesemua parti politik bersama meletakkan sasaran waktu yang diperlukan untuk mewujudkan kedua undang-undang terbabit.

"Saya kira sudah tiba masanya mereka berikrar dalam masa tiga ke empat bulan untuk sama-sama bersetuju untuk melaksanakan dua perkara asas tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keperluan untuk untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh waktu terdekat, Awang Azman berkata, perkara tersebut sewajarnya dipertimbangkan dengan mengambil kira kepentingan untuk mewujudkan politik yang lebih stabil.

Menurut beliau, situasi politik semasa juga dilihat menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat khususnya apabila berlaku gejala seperti lompat parti dan keraguan integriti dalam urus tadbir negara.

Jelas beliau, alasan wabak Covid-19 tidak sepatutnya digunakan dengan mengambil kira situasi terkini penularan virus tersebut di dalam negara dan di samping beberapa contoh negara lain yang mengadakan PRU ketika pandemik.

"Kita tidak boleh gunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk tidak mengadakan PRU sedangkan pada masa sama kita bebas untuk contohnya pergi ke pusat membeli belah.

"Jadi kalau kita lihat negara Jepun baru-baru ini, ada 100 juta penduduk dia pergi mengundi. Kita baru penduduk tidak sampai 35 juta dan pengundi pun di sekitar 15 juta sahaja.

"Dalam konteks ini, kita perlu bergerak ke depan kita melihat contoh negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Singapura yang mengadakan PRU (ketika pandemik),” katanya.