KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.
Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 20 Ogos lepas, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan remaja terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi, di lokasi dan masa yang sama.
Sebelum itu, peguam Datuk Farhan Maaruf yang dibantu Nur Aminahtul Mardiah Md Nor memohon agar mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM12,000 yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini kerana fakta serta bukti bagi kedua-dua kesalahan itu adalah sama.
"Pihak kami percaya jaminan RM12,000 yang dikenakan ke atas anak guam saya bagi pertuduhan sebelum ini mencukupi untuk memastikan kehadirannya di mahkamah, namun sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan bagi pertuduhan kedua ini, saya mohon wang jaminan sebanyak RM3,000,” kata Farhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias memohon wang jaminan ditambah berikutan penambahan pertuduhan ke atas Siti Bainun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.
Noor Shakira Aliana turut memaklumkan kepada mahkamah, kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama dan setakat ini pihaknya telah menyediakan seramai 29 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.
"Pihak pendakwaan telah menyerahkan 13 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan, namun terdapat beberapa dokumen lain yang masih belum diserahkan antaranya rekod janji temu mangsa dari Hospital Serdang dan gambar daripada forensik,” katanya yang turut memohon tarikh sebutan bagi penyerahan dokumen tersebut.
Izralizam kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 15 hari bermula 30 Mac 2022 manakala sebutan kes ditetapkan pada 6 Januari tahun depan. -Bernama