SHAH ALAM - Pemuda Amanah Negara (Amanah) Selangor menggariskan lima teras cadangan yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan negeri menerusi Memorandum Belanjawan Selangor 2022.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Khamis, Pemuda Amanah Selangor berkata, memorandum berkenaan merupakan penambahbaikan terhadap belanjawan negeri yang akan diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pada Jumaat.
Katanya, senarai kandungan memorandum itu turut diberikan kepada Amirudin dan exco kerajaan Selangor.
"Kami sentiasa menyokong dan membantu usaha kerajaan negeri bagi memastikan rakyat menerima manfaat yang banyak," katanya.
Lima teras cadangan utama yang digariskan dalam memorandum itu adalah meliputi pendidikan, ekonomi, orang kurang upaya (OKU), pengangkutan awam dan pembangunan digitalisasi.
Belanjawan Selangor 2022 akan dibentang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat dengan menumpukan usaha bagi merancakkan semula sektor ekonomi dalam membantu rakyat pasca pandemik Covid-19.
Di samping itu, Amirudin sebelum ini memaklumkan beberapa langkah bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor ekonomi akan digerakkan menerusi belanjawan berkenaan bagi mengembalikan semula kehilangan hasil negeri pada 2020 dan tahun ini.