Kerajaan negeri digesa bina, turap jalan guna CMB

Iklan
KPPK menggesa semua kerajaan negeri membina dan menurap jalan negeri dan desa menggunakan teknologi Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) dalam usaha membantu pekebun kecil getah. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggesa semua kerajaan negeri membina dan menurap jalan negeri dan desa menggunakan teknologi Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB) dalam usaha membantu kehidupan kalangan pekebun kecil.

Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin berkata, kementerian juga pada masa sama akan meneruskan pelaksanaan penurapan menggunakan CMB di samping menggalakkan industri hiliran sedia ada seperti pembuatan sarung tangan getah serta galas getah bearing.

Iklan
Iklan

"Sarawak berpotensi mengembangkan industri pemprosesan lateks (dan muncul) sebagai hab baharu pengeluaran lateks di Malaysia dan seterusnya pembuatan produk getah berasaskan lateks seperti sarung tangan getah,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan, Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai sama ada kementerian merancang untuk membuka industri hiliran dan prasarana berasaskan susu getah di Sarawak selain keperluan daripada segi pelaburan dan infrastruktur.

Iklan
Willie Mongin - Foto Bernama

Menurutnya, pelaburan dan infrastruktur yang diperlukan boleh dicadangkan berdasarkan status pengeluaran getah semasa dan pembangunan infrastruktur berkaitan yang diperlukan seperti rangkaian pusat pengumpulan dan kilang pemprosesan lateks.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menambah Insentif Pengeluaran Getah Tambahan (IPGT) sehingga harga getah sekerap RM3 sekilogram.

Iklan

"Sekiranya harga getah semasa RM2.50 sekilogram, insentif sebanyak 50 sen akan diberikan dan jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri adalah RM1.5 juta di mana sehingga 15 November 2021 sebanyak RM390,871.58 telah dibayar kepada pekebun kecil,” katanya. - Bernama