KARIM Benzema menyumbat gol selepas beberapa jam dia didapati bersalah kerana kes memeras ugut ketika Real Madrid menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis.
Penyerang sensasi Perancis itu menjaringkan gol ketiga Real yang mengesahkan kemaraan ke saingan kalah mati selaku juara Kumpulan D - dua mata mengatasi Inter Milan di tempat kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Real mara ke pusingan 16 terbaik bagi musim ke-19 berturut-turut - satu-satunya kelab yang meraih pencapaianan berkenaan sejak format tersebut diperkenalkan pada 2003/2004.
Real kini hanya perlu mengelak kekalahan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Inter di Santiago Bernabeu untuk kekal sebagai pendahulu kumpulan.
"Pasukan ini berada dalam keadaan baik, setiap pemain mempunyai tahap fizikal yang kuat. Ia penting untuk kami tamatkan sebagai juara dan kami akan berusaha untuk menamatkan kempen kumpulan dengan cara kami bermula.
"Mengenai Karim Benzema, semuanya dalam keadaan terkawal. Dia nampak tenang walaupun perkara ini telah menjadi topik sejak sekian lama,” jelas pengendali Real, Carlo Ancelotti.
Benzema dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama setahun selain didenda €75,000 (RM354,606) selepas didapati bersalah bersubahat dalam cubaan memeras ugut Mathieu Valbuena.
Benzema merupakan salah seorang daripada lima individu yang dibicarakan atas percubaan memeras ugut bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Perancis itu.