UMK diiktiraf Universiti Keusahawanan

Iklan
Nik Maheran (dua dari kanan) dan Asiah menunjukkan sijil pengiktirafan sebagai Universiti Keusahawanan di Kampus UMK Bachok. - Foto Media UMK

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima pengiktirafan universiti awam pertama di Malaysia mendapat akreditasi antarabangsa sebagai Universiti Keusahawanan.

Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMK berkata, pengiktirafan berkenaan dianugerahkan oleh Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) pada 23 November lalu.

Iklan
Iklan

"UMK telah melepasi kesemua 15 aspek yang menjadi keutamaan bagi mendapat pengiktirafan berkenaan dan tiga daripadanya ialah aspek ekosistem, kepimpinan dan pendidikan yang diperoleh dengan cemerlang.

"Kita menyasarkan UMK mendapat pengiktirafan ini pada 2023, namun berkat usaha bekas naib canselor, ahli-ahli dan juga kakitangan, akhirnya kita dapat mencapai kejayaan ini lebih awal,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Iklan

Nik Maheran sebelum itu menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-10 dan 11 di Kampus Bachok di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pro Canselor II UMK, Tan Sri Datuk Dr Asiah Abu Samah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Arham Abdullah dan Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK, Profesor Madya Dr Mohammad Ismail.

Iklan

Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, sejak penubuhan UMK dianggarkan seramai hampir 4,000 graduan dari universiti itu telah bergelar usahawan melibatkan purata 300 pelajar setahun.

Katanya, pendapatan usahawan berkenaan juga amat memberangsangkan bermula serendah RM3,000 hingga jutaan ringgit sebulan melibatkan jualan produk yang mereka perkenalkan.

"Semasa sedang belajar pun 17 peratus daripada mereka menjalankan perniagaan semasa berada di kampus dan diharapkan bila bergraduasi mereka akan teruskan perniagaan masing-masing dengan jayanya,” katanya.