ALOR SETAR - Perjanjian pajakan tanah di mukim Padang Lalang, Langkawi antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah ditamatkan pada 2018.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjanjian itu ditamatkan atas permohonan Dr Mahathir sendiri yang dilakukan secara sukarela.
Menurutnya, notis penamatan dikemukakan kepada LADA pada April 2017 ketika Kedah ditadbir oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
"Berkaitan pajakan tanah seluas 13 hektar kepada Dr Mahathir pada 2014 yang tular, pajakan telah ditamatkan pada 7 Mac 2018.
"Tiada kesalahan apa pun yang dilakukan berkaitan pajakan itu mahupun ketika menamatkan pajakan, semua mengikut prosedur perundangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam satu ciapan yang tular di Twitter, seorang pemilik akaun mendedahkan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerima pajakan berkenaan untuk tempoh 60 tahun bagi tujuan pembinaan hotel.
Pajakan itu diluluskan pada tahun 2014 ketika anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar Kedah.
Turut dimuat naik dalam ciapan itu adalah surat rasmi daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LADA bertarikh 11 September 2014.
Pemilik akaun terbabit juga mempersoalkan adakah pajakan berkenaan adalah manfaat yang diperoleh Dr Mahathir bagi tempoh 22 tahun serta 22 bulan menjadi Perdana Menteri.