SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya dipisahkan sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua gagasan itu seperti dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat.
Beliau berkata, ia juga laksana seperti sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah sahaja.
"Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya.
"Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah-belah dan berporak-peranda selama ini.
"MN bukan sahaja disertai oleh Pas dan UMNO, bahkan melibatkan semua pihak jika benar-benar gagasan itu berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab sebelum Islam yang berpecah-belah,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PN yang menjadi gagasan politik yang lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
"Khususnya, bagi menegakkan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang telah wujud dan tidak perlu dirungkai lagi, tetapi kandungan Perlembagaan mestilah ditafsirkan dengan jiwa yang merdeka daripada sebarang pengaruh penjajahan pemikiran yang perlu dibuang segala kesan-kesan dan pengaruhnya yang masih ada.
"Selain itu, puak pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam Keluarga Malaysia perlu disingkirkan,” jelasnya.
Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.
Oleh itu, menurutnya, Pas menolak MN yang terbelenggu dengan hanya melibatkan UMNO dan Pas sahaja.
Tambahnya, Pas juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.
"Oleh yang demikian, secara tegasnya Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain. Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi bersuluh.
"Pas boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, Pas bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.
"Pas hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat secara keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata.” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.