MARAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan cadangan penyewaan rumah swasta bagi mengatasi masalah perumahan pegawai dan anggota di bandar besar terutama di kawasan Lembah Klang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, cadangan tersebut dikemukakan kepada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan.
"Jika cadangan tersebut diluluskan, penyewaan rumah untuk pegawai dan anggota akan dimulakan di Lembah Klang terutama sekitar Kuala Lumpur dengan 220 buah rumah sebagai permulaan.
"Cadangan ini dikemukakan dengan mengambil kira masalah kuarters pegawai dan anggota yang tidak mencukupi ketika ini. Jika bina kuarters baharu ia akan mengambil masa yang panjang," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini, pada Khamis.
Mazlan berkata, penyewaan rumah dari pihak swasta dilihat sebagai jalan terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Dengan elaun perumahan agak kecil, sukar untuk anggota mendapatkan rumah terutama di kawasan Lembah Klang.
"Bagaimanapun isu ini masih terkawal dan usaha dilakukan pihak PDRM ini untuk kebajikan keperluan rumah anggota dan pegawai," katanya.
Sementara itu, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek pembaikan kuarters polis IPD Maran yang terbengkalai hampir 16 tahun lalu.
Menurutnya, projek pembinaan lima blok kuarters dengan 60 unit rumah melibatkan kos asal RM11.juta itu terbengkalai atas beberapa masalah teknikal.
"Alhamdulillah, melalui peruntukan RM1.8 juta bagi pembaikan ini, kerja-kerja berjalan lancar dan sudah mencapai 98 peratus siap. Dijangka rumah anggota ini boleh diduduki menjelang Januari tahun depan," katanya.
Dalam lawatan itu, Mazlan turut meninjau perkembangan projek tersebut selain menyempurnakan majlis perasmian surau dan Rumah Perkep IPD Maran.
Sempena lawatan kerja beliau ke kontinjen Pahang, Mazlan turut mengadakan lawatan ke IPD Kuantan.