Kurang penghayatan agama antara punca LGBT: JAIS

Iklan
Haris Kasim bergambar bersama pihak yang terlibat dalam Seminar Keibubapaan Mengenai LGBT bertajuk Keliru dan Kelabu bertempat di Auditorium Dahlia, Dewan Muzakarah dan Syarahan Islam, Masjid Negeri.

SHAH ALAM - Kurang penghayatan agama antara faktor berlakunya penularan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, walaupun pendidikan agama itu telah diberikan sejak kecil, namun amalan kehidupan beragama agak kurang oleh individu ini menyebabkan mereka cenderung ke arah LGBT.

Haris Kasim

Iklan
Iklan

"Golongan yang terlibat dengan LGBT tidak dapat membezakan antara perkara yang baik mahupun perkara yang buruk.

"Hal ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan rakan dan faktor sekeliling yang mendedahkan kepada golongan LGBT," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Seminar Keibubapaan Mengenai LGBT bertajuk 'Keliru dan Kelabu' bertempat di Auditorium Dahlia, Dewan Muzakarah dan Syarahan Islam, Masjid Negeri.

Katanya, konflik keluarga juga merupakan penyumbang kepada masalah LGBT.

Iklan

"Masalah dalaman keluarga yang dialami oleh remaja menyebabkan mereka mencari keseronokan di luar rumah melalui perhubungan dengan rakan sejenis yang dianggap boleh menggantikan ibu bapanya.

"Kurangnya komunikasi dengan ibu bapa juga menyumbang kepada masalah ini serta kesibukan ibu bapa yang bekerja dan kekurangan masa yang diluangkan dengan anak-anak menyebabkan mereka mencari kasih sayang dan perhatian melalui hubungan dengan rakan yang sejenis," katanya.

Katanya, walaupun cara hidup seperti ini telah sampai di Malaysia, namun masyarakat telah menolak untuk menerima golongan ini kerana cara hidup LGBT ini tidak selari dengan cara yang telah diajar oleh Islam.

"Lebih sedih lagi apabila golongan ini juga adalah Islam dan mendapat tuntutan ilmu yang mendalam tentang Islam.

"Dalam sejarah, kehidupan LGBT ini bukanlah suatu yang baharu, ia sudah wujud sejak zaman Nabi Luth AS lagi sebagaimana ALLAH SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 80-81," katanya.

Jelasnya dalam Islam, LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat dan diharamkan oleh ALLAH SWT samada dilakukan secara terus terang atau sembunyi.

"LGBT merupakan perbuatan dosa besar dan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia.

"Sekali gus ia menafikan hak berhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf oleh syarak sebagai suami isteri," katanya.

Tambahnya, dalam menangani isu LGBT ini, JAIS khususnya Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan menjalankan tindakan berdasarkan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Tahun 1995 sedia ada.

"Ia jelas terkandung seperti peruntukan Seksyen 27 bagi kesalahan hubungan jenis bagi orang yang sama jantina, Seksyen 28 bagi kesalahan persetubuhan luar tabii dan Seksyen 30 bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan.

"Untuk tempoh bermula tahun 2015 hingga 2018, sebanyak 30 aduan direkodkan berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang dinyatakan sebelum ini dan daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh tangkapan telah dilakukan oleh JAIS," katanya.

Katanya, walaupun jumlah aduan dan tangkapan berkaitan golongan LGBT ini tidak tinggi, tetapi ia bukan bermaksud kegiatan yang tidak bermoral ini boleh dipandang enteng dan sambil lewa.

"Salah tetap salah, tak kira besar atau kecilnya kesalahan tersebut.

"Ini kerana jika perbuatan terkutuk dan dosa besar ini dilakukan juga serta masih berleluasa, maka tidak mustahil ALLAH SWT akan menurunkan hukuman dan azab sebagaimana yang berlaku ke atas kaum Nabi Luth," katanya.

Jelasnya, semua pihak seharusnya bersatu padu untuk membendung masalah LGBT ini.

"Penglibatan semua pihak dalam membanteras gejala ini mampu memberikan kesan positif kepada agama, bangsa dan negara.

"Sikap yang tidak mengambil berat terhadap masalah ini seharusnya dibuang untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas LGBT," katanya.