KUALA LUMPUR - Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sensasi selepas menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pusingan kedua Terbuka Indonesia 2021 di Bali, pada Khamis.
Ia juga kekalahan kedua berturut-turut gandingan dari Taiwan itu di tangan pasangan negara selepas turut tewas kepada beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Masters Indonesia yang turut diadakan di Bali, Sabtu lepas.
Berada di kedudukan ke-19 dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin cemerlang menoktahkan kemenangan ke atas pilihan ketiga kejohanan yang juga gandingan ranking ketiga dunia itu dengan keputusan 21-15, 23-21 dalam tempoh 37 minit pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua.
Menanti Sze Fei-Nur Izzuddin di pusingan suku akhir adalah antara wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan Kang Minhyuk-Seo Seungjae dari Korea Selatan yang akan berentap dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Pada masa sama, perjalanan Aaron-Wooi Yik di kejohanan itu berakhir di pusingan sama selepas dikejutkan rakan senegara yang juga gandingan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 14-21, 17-21 dalam pertarungan selama 29 minit.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik terpaksa menunggu lagi untuk merangkul gelaran pertama kejohanan utama tahun ini manakala Yew Sin-Ee Yi akan membuat perhitungan menentang pasangan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di suku akhir.
Pasangan tuan rumah itu yang juga pilihan pertama kejohanan melangkah ke peringkat lapan terbaik selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi wakil Korea Selatan Choi Solgyu-Kim Wonho 12-21, 21-19, 21-18.
Sementara itu, cabaran kem beregu wanita negara berakhir selepas ketiga-tiga pasangan kecundang kepada lawan masing-masing di pusingan kedua.
Pearly Tan-M. Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tewas 21-14, 20-22, 17-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi sementara Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien masing-masing tunduk kepada lawan.
Men Yean-Cheng Wen kalah kepada pilihan kelima dari Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 14-21, 15-21 manakala Vivian-Chiew Sien berjaya memberikan saingan sebelum tewas 26-24, 12-21, 11-21 di tangan pilihan ketiga Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, dari Thailand.
Dalam saingan beregu campuran, pasangan profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menempah aksi suku akhir berdepan gandingan Korea Selatan Ko Sung Hyun-Eom Hye Won selepas menundukkan wakil Jerman Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 21-9, 21-13 di pusingan kedua.
Pada masa sama, jumlah wakil negara dalam saingan beregu campuran mungkin bertambah bergantung kepada pertembungan antara Cheng Tan Jie-Peck Yen Wei menentang pilihan utama dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berdepan wakil tuan rumah Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso. - Bernama