SUDAH sampai masanya negara menggantikan pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 seperti yang digariskan dalam Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55.
Mengimbas kembali kejadian pada 16 November 2021 lalu, pesawat Hawk yang sedang melakukan latihan penerbangan terhempas hingga mengorbankan juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan selamat dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Adakah ia kesalahan individu atau jangka hayat pesawat itu sendiri?
Pada Khamis, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan juga telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) melalui Rolling Plan 1, 2021.
Katanya, tender terbuka antarabangsa bagi perolehan ini ditutup pada 6 Oktober 2021 dan kini sedang dalam proses penilaian. Jadi, proses dah berjalan dan ia berada dalam perancangan CAP55.
Dalam pada itu, Turki merancang mengeluarkan jet tempur 'Hurjet' dengan Malaysia jika proses tender berjaya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI), Profesor Temel Kotil.
Beliau berkata, ini sebagai usaha untuk mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.
Kotil berkata, perkara itu masih dalam proses tender oleh Malaysia dan jika tender berjaya, sebanyak 15 jet akan dihasilkan di Malaysia manakala tiga lagi di Turki.
Ujarnya, Turki mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik.
Sementara itu, perancangan Turki untuk mengeluarkan jet tempur 'Hurjet' dengan Malaysia akan membantu negara mendapatkan teknologi baharu dalam memajukan industri pertahanan dan aeroangkasa negara.
Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, ia merupakan satu peluang keemasan kerana industri aeroangkasa Turki ketika ini sangat maju.
Menurutnya, Teknologi Turki yang dianggap paling berjaya dan paling digeruni ketika ini adalah pesawat tempur tanpa pemandu bersenjata (UAV) atau dron tempur.
Jelas Muhammad Fuad, dalam peperangan antara Azerbaijan dan Armenia baru-baru ini, Azerbaijan menang perang itu kerana menggunakan dron tempur dari Turki.
Ia menyebabkan masyarakat ketenteraan terkejut kerana situasi berkenaan menunjukkan betapa ke hadapannya teknologi yang digunakan Turki ketika ini.