APABILA Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan dasar baharu untuk tidak lagi memperbaharui dan tidak mengeluarkan lesen perjudian di negeri itu berkuat kuasa serta-merta, kecoh dalam tempoh seminggu itu dengan pelbagai reaksi, tidak kurang menghentam keputusan tersebut.
Tindakan berani Sanusi mengundang rasa tidak puas hati segelintir pihak terutama pemilik dan tauke pusat judi nombor ekor di Kedah yang mendakwa ‘periuk nasi’ mereka ditutup, selain menyebabkan pekerja menganggur.
Namun, dengan nada nasihat, Sanusi menyarankan agar mereka menceburi perniagaan lain yang boleh memanfaatkan banyak pihak.
Ramai pembela aktiviti tidak bermoral itu tampil mempersoalkan ketetapan tersebut tetapi Sanusi tetap mempertahankan tindakan kerajaan negeri yang diumumkan pada 14 November. Di sebalik riuh-rendah, lebih ramai yang tampil menyokong usaha murni Kedah itu.
Pada masa yang sama, Sanusi turut mengumumkan ketetapan juga telah dibuat agar penjualan arak secara terbuka dihadkan dan hanya kepada pengguna bukan Islam.
Mungkin apabila perkara berkenaan diumumkan oleh Sanusi yang sering dikaitkan dengan pelbagai kenyataan kontroversi sebelum ini, apa juga yang keluar daripada mulut beliau dianggap kontroversi.
Masakan tidak, sejak menerajui Kedah, ada sahaja kenyataan berunsurkan kontroversi dikaitkan dengan dirinya, antaranya cuti Thaipusam, kontena mayat Covid-19, pandu uji kereta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perang mulut dengan Pulau Pinang berkaitan isu bekalan air.
Kedah muncul negeri ketiga yang melaksanakan ketetapan tersebut. Pada 2000, kerajaan Pas Terengganu ketika itu dipimpin Timbalan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menguatkuasakan pengharaman judi dengan menamatkan semua lesen premis perjudian di negeri itu. Malah, Kelantan terlebih dahulu berbuat demikian pada 1990.
Tak pasti adakah keadaannya riuh-rendah kerana ketika itu perang media sosial tidak sehebat sekarang. Akhirnya, suasana kembali tenang dan kita dapat melihat prestasi di kedua-dua negeri berkenaan.
Di sebalik keputusan tersebut, ada pihak membangkitkan tindakan Sanusi tidak populis dan boleh mengundang kemerosotan undi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Agak sukar kita menelah pemikiran pengundi masa kini yang dilihat ‘tidak stabil’, selain beberapa siri perubahan kerajaan yang dengan mudah digulingkan hasil gerakan dalaman menerusi ‘lompat parti’.
Mungkin apa yang dilakukan anak didik Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak itu tidak populis untuk meraih mileage politik, namun keputusan tersebut tidak menyanggah tuntutan agama.
Semua agama menolak ejen perosak seperti judi dan arak, malah Sanusi sendiri menegaskan bahawa ia adalah tanggungjawabnya sebagai Muslim dan ketua kerajaan. Jika tidak dilakukan, apa yang akan dijawabnya ketika disoal pencipta-Nya kelak.
Agak sinis ada pihak cuba mengheret kerajaan Kedah ke mahkamah untuk dicabar keputusan itu, sedangkan ia di bawah bidang kuasa negeri.
Bagaimanapun, usaha murni Kedah disambut baik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysian (Salimah) yang melancarkan ‘Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia daripada arak dan judi’ (SAJI) bagi mendedahkan impak negatif gejala itu, selain menyampaikan mesej kepada kerajaan agar mengkaji semula dasar berkaitan kedua-dua industri tersebut.
Mungkin secara kebetulan kedua-dua pihak bertindak menangani isu berkenaan tetapi solidariti harus diberikan untuk mengangkat usaha itu ke peringkat lebih tinggi termasuk kerajaan Persekutuan.
Banggakah kita apabila rakyat Malaysia berbelanja sekitar RM2 bilion setahun untuk minum arak dan berada di tangga ke-10 dunia dalam populasi tertinggi minum arak. Adalah lebih baik kita mencipta ‘ranking’ baharu yang lebih bermoral pada masa hadapan.
Antara kontroversi, populis atau tuntutan, biarlah kita menilai dari semua sudut. Mana yang baik dijadikan panduan, yang jelik dijadikan sempadan.
Walaupun isu itu kini agak tenang, namun ‘air yang tenang, jangan disangka tiada buaya’.
* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara