ALOR GAJAH - Seorang wanita kerugian RM85,700 akibat terperdaya dengan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui Instagram sejak Julai lalu.
Mangsa merupakan ibu tunggal berusia 59 tahun dari Masjid Tanah dan tidak bekerja berkenalan dengan suspek melalui Instagram sebelum berhubung melalui WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai Ahmed Hashima dari Amarika Syarikat (AS).
Beliau berkata, suspek memberitahu akan mengirimkan hadiah mewah sebagai tanda persahabatan kepada mangsa seperti beg tangan berjenama, kasut berjenama, dompet berjenama, dua utas jam tangan berjenama, seutas rantai dan gelang tangan emas dan wang berjumlah AS$15,000.
Menurutnya, pada Ogos lalu mangsa menerima mesej melalui apliksi WhatsApp yang mendakwa dari Pos Laju Kuala Lumpur dan memaklumkan barang mangsa telah sampai dan diminta untuk membuat pembayaran kerana barangan tersebut mempunyai masalah.
"Disebabkan percaya, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam empat akaun bank yang berbeza berjumlah RM85,700.
"Bagaimanapun setelah bayaran dibuat mangsa masih tidak menerima barangan tersebut, malah lelaki yang dikenalinya itu masih meminta wang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, berikutan itu mangsa membuat laporan polis setelah mengesyaki diperdaya oleh individu terbabit.
Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu)," katanya.