Analisis PRN Melaka buktikan PN punya pengaruh kukuh

Iklan
Hamzah Zainuddin

SHAH ALAM - Hasil keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi analisis Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Khamis membuktikan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi Melaka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.

Iklan
Iklan

"Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

"Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti-parti komponennya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Bersatu memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 sekali gus Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Iklan

Tambahnya, Mesyuarat Khas MPT juga telah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu.

"Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, malah ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bersatu juga memutuskan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-5 yang akan diadakan pada 18 dan 19 Disember 2021 di PICC, Putrajaya yang bakal dihadiri oleh 1,600 perwakilan dari seluruh negara secara fizikal.

"Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November 2021,” jelasnya.