Rumah Ngaji, SUK Perak perkasa peranan al-Quran

Iklan
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menggerakkan kerjasama bersama Rumah Ngaji dengan mewujudkan Quran Corner bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran.

IPOH - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak menggerakkan kerjasama bersama Rumah Ngaji dengan mewujudkan Quran Corner bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan kakitangannya.

Iklan
Iklan

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya menerima lima set dengan setiap satunya terdiri daripada tujuh jenis al-Quran hasil sumbangan di bawah Projek Wakaf al-Quran.

"Pastinya sumbangan ini amat besar ertinya kepada kami.

Iklan

"Walaupun dalam kesibukan melaksanakan setiap tanggungjawab dan tugasan sebagai seorang pekerja, setiap daripada kita perlu sentiasa berusaha mempelajari, memahami dan mengamalkan al-Quran.

Quran Corner jadi platform menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan kakitangan Pejabat SUK Negeri Perak.

Iklan

"Semoga usaha murni ini dapat menyuburkan budaya membaca al-Quran serta memahami isi kandungannya bagi warga Pejabat SUK Negeri Perak secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini pada Khamis.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menggerakkan kerjasama bersama Rumah Ngaji dengan mewujudkan Quran Corner bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran.

Hadir sama, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah.

Nor Sham berkata, Quran Corner berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh Biro Agama Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR).

"Semoga biro ini dapat melaksanakan program-program yang berimpak tinggi untuk kita menyemarakkan lagi budaya membaca al-Quran seterusnya menjayakan misi Quran Hour," katanya.

Nor Sham (tiga dari kanan) bersama Normah Hanum melihat sumbangan al-Quran oleh WUIF di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.

Sementara itu, Normah Hanum berkata, kewujudan Quran Corner di pejabat berkenaan adalah organisasi yang ketiga di Perak sejak 2020.

Katanya, dua lagi organisasi terlibat dalam Quran Corner adalah Jabatan Kesihatan Negeri Perak dengan sumbangan 9,500 naskhah al-Quran terjemahan dan Polis Kontinjen Perak sebanyak 1,500 naskhah.

"Hasrat utama Quran Corner adalah agar al-Quran dijadikan solusi dalam kehidupan, rujukan serta perkongsian ilmu dalam kalangan warga kerja.

"Dengan adanya Quran Corner kawasan awam seperti hospital, balai polis, organisasi dan sekolah serta pusat pengajian di seluruh Malaysia, diharapkan agar proses pembinaan ekosistem baca, faham dan amal al-Quran dapat dipercepatkan," katanya.