PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menggesa kesebelasan The Reds untuk mengekalkan rentak kemenangan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Southampton di Anfield pada Sabtu.
Menurut Klopp, rentak kemenangan itu dilihat penting dalam usaha memastikan skuad kendaliannya itu meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.
"Berdasarkan pemerhatian saya, pasukan ini sudah mula menemui ‘rentak kemenangan’ dan bagi saya ia perlu dikekalkan selama mana yang boleh.
"Lagi pun, masih banyak perlawanan yang perlu diharungi musim ini. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi, tetapi sememangnya rentak kemenangan ini perlu dikekalkan,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool kini berada pada kedudukan ketiga EPL dengan 25 mata setelah mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Selain itu, skuad The Reds itu turut mengesahkan slot ke pusingan 16 bagi saingan Liga Juara-Juara musim ini selaku juara B dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah.
Sementara itu Klopp berkata, pihaknya kini hanya menunggu perkhabaran terkini daripada pihak perubatan pasukan berhubung situasi kesihatan dua tonggak serangan Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah menjelang aksi berdepan Southampton.
Katanya, kedua-dua pemain berkenaan memerlukan masa kurang daripada 70 jam untuk pulih daripada kecedraan setelah beraksi berdepan kelab Portugal, FC Porto pada saingan Liga Juara-Juara, pada Rabu.
"Berkemungkinan besar juga kita menurunkan kesebelasan sama jika kedua-dua pemain ini didapati tidak cergas dalam masa terdekat ini.
"Selain itu, kita juga ada banyak perkara lain yang juga mustahak untuk difikirkan; seperti siapa yang kembali daripada kecederaan, siapa yang memiliki lebih minit permainan, siapa yang perlu direhatkan dan sebagainya,” katanya.