BINTANG kesayangan orang ramai ini mula dikenali menerusi aplikasi smule sehingga mendapat jolokan 'King of Smule'.
Penyanyi ini juga mempunyai kelompok penyokong yang ramai bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia, Singapura, Hong Kong, Brunei, Taiwan dan Thailand.
Dalam tempoh empat tahun pembabitannya dalam arena seni dan hiburan tempatan pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin atau lebih dikenali Khai Bahar sudah merangkul 20 anugerah yang dipertandingkan dan ia adalah hasil undian kerja keras para penyokong.
Sehubungan itu, sebagai azam tahun ini pemuda itu berhasrat untuk menjulang trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu menerusi penilaian juri profesional.
"Bagi saya bukannya mudah sebab kena banyak belajar, saya bukannya seorang superstar yang menang banyak trofi dari pelbagai anugerah.
"Oleh sebab itu, bagi mendapatkan Vokal Terbaik semestinya kena ada latihan yang konsisten setiap hari. Agak sukar juga sebenarnya dan mengambil masa.
"Sebenarnya apa yang saya lalui sekarang ini merupakan kesilapan yang harus diperbaiki. Kalau tiada kesilapan saya tak akan tahu di mana kelemahan saya.
"Dari situ saya belajar macam-macam perkara untuk penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti nyanyian," jelasnya.
Kata Khai, biarpun sukar untuk meraih trofi berkenaan namun hasil usaha yang berterusan tidak mustahil dapat menggenggam status tersebut.
"Dari segi vokal memang sukar untuk ke tahap lebih baik. Jadi hanya melalui kelas vokal sahajalah dapat saya pelajari teknik-teknik yang betul.
"Sekarang ini kalau ada undangan nyanyian saya akan ikuti kelas vokal terlebih dahulu untuk mengasah lagi seni suara dengan guru kokal Erni Zakri sebab saya sudah selesa dengannya.
"Selain pembelajaran teknik, antara lain saya kena jaga cara pemakanan yang mana saya tak ambil makanan berminyak sangat," katanya kepada Sinar Harian.
Bercakap mengenai dunia lakonan, Khai tidak menolak peluang andai ada tawaran berlakon, bagaimanapun dia mahu fokus dahulu pada jadual sedia ada sebelum menerima sebarang tawaran.
"Bukan tak nak tetapi kekangan masa tidak mengizinkan. Lagi pun kalau berlakon ia akan mengambil berjam lamanya.
"Nak berlakon ini bukan macam menyanyi yang satu malam sahaja dah boleh habis.
"Jujur saya katakan tak boleh ambil sebabkan jadual yang sudah dipertanggungjawabkan untuk menjadi penampilan istimewa bagi projek-projek berkenaan.
"Minat itu memang ada insya-ALLAH cuma dari segi masa sahaja. Berlakon sehari dua untuk penampilan istimewa bolehlah," tuturnya jujur.
Sementelah itu, bercakap fasal watak pula, Khai tidak mempunyai sebarang pilihan kerana masih belum berpeluang mencuba watak-watak sedia ada.
"Sebelum ini pernah berlakon cuma sebagai cameo diri sendiri. Untuk watak-watak lain tak pernah cuba lagi.
"Kalau diberi peluang pun saya tidak akan memilih kerana tak berani sebab tak ada pengalaman lagi.
"Saya terima apa sahaja watak dan sahut cabaran untuk menghidupkan watak tersebut," katanya.
Berkongsi mengenai hadiah pemberian daripada peminat, Khai yang ditemui pada majlis sambutan hari lahir anjuran Khai Bahar Empire bertempat di Shazac Bistari Hall awal Mac lalu, tidak mengharapkan hadiah yang mahal-mahal.
"Saya bersyukur dengan apa yang mereka berikan, balik rumah saya buat Instagram Live, buka satu demi satu dan ucap terima kasih. Malah majlis baru-baru ini pun saya terharu.
"Kalau fasal barang yang saya teringin sejujurnya tidak ada yang spesifik. Pendek kata, saya tidak cerewet dan memilih.
"Sempena hari lahir ini tiada lain selain mengharapkan karier terus sukses, memantapkan lagi momentum sebagai penyanyi dengan mengeluarkan banyak lagi lagu-lagu nafas baharu dan bermutu," akhiri Khai.