Tiada implikasi kewangan sekiranya PSR batal atau tertangguh

Iklan
Zairil Khir Johari

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang pada dasarnya tidak menghadapi implikasi kewangan yang berat sekiranya pelaksanaan projek tambak laut di perairan selatan negeri itu (PSR) tertangguh atau terbatal.

Bagaimanapun, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kesan kehilangan projek ini terhadap ekonomi Pulau Pinang adalah sangat besar untuk jangka masa panjang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang juga perlu menyediakan tanah untuk menarik pelabur asing yang baharu pada masa depan.

"Ketiadaan tapak industri seperti Green Tech Park bagi perkembangan industri berteknologi tinggi masa depan bermakna Pulau Pinang akan kehilangan peluang untuk menarik pelaburan bernilai berpuluh bilion ringgit.

Iklan

"Ini akan menjejaskan reputasi Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri pada masa depan.

"Malah implikasi lain kepada Pulau Pinang ialah kehilangan peluang pekerjaan, perniagaan dan pendapatan kepada rakyat serta syarikat tempatan yang menanti peluang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zairil (DAP-Tanjong Bungah) berkata, ketiadaan projek ini juga bererti kehilangan peluang untuk kawasan Pulau Pinang Selatan menikmati kemajuan.

Jelasnya, komuniti nelayan juga tidak dapat menikmati manfaat yang sedang dirancang dan diatur di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial serta program penglibatan komuniti yang dijenamakan sebagai Pelitaku.

Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan akan memulakan proses mengemukakan semula laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek PSR itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas tiga anggota Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan terdahulu pada September lalu.

Pelaksanaan projek PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas itu dirancang bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai kira-kira RM46 bilion.