SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memandang serius reputasi penerima darjah kebesaran negeri ini khususnya membabitkan pegawai-pegawai yang terlibat dengan pertuduhan seperti rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, Sultan Sharafuddin mengingatkan agar penerima kurniaan itu untuk tidak terlibat dengan perlakuan tersebut bagi melindungi darjah kebesaran berkenaan selain memelihara status penerimanya.
Haris berkata, baginda juga berharap langkah sewajarnya dapat diambil pihak bertanggungjawab bagi membendung gejala tidak sihat itu khususnya melibatkan semua penjawat awam, pemimpin, golongan profesional, ahli korporat dan orang perseorangan yang didapati terlibat secara langsung.
"Ini adalah bagi memastikan negeri Selangor sentiasa berada dalam suasana aman sentosa di bawah tadbir urus yang cekap, penuh amanah dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Haris berkata, keahlian seorang bekas penerima Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), OC Phang@Phang Ai Tu juga telah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 11 November lalu selepas pihak terlibat didapati tidak layak memegang kurniaan berkenaan.
Menurut Haris, Phang dikurniakan keahlian darjah kebesaran itu pada 2010 yang membawa gelaran Datin Paduka.
"Beliau telah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, maka dengan ini darjah kebesaran itu ditarik balik berkuat kuasa 11 Oktober," katanya.
Justeru, beliau berkata, pihak terlibat dilarang menggunakan darjah kebesaran yang dikurniakan sebelum ini termasuk pihak lain juga turut ditegah memanggil beliau menggunakan gelaran Datin Paduka.
"Penarikan kurnia itu adalah selaras dengan kuasa baginda di bawah Perkara XXXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran yang berkenaan," ujarnya.