JAKARTA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara di rantau Asia Tenggara mempercepat tindakan menangani masalah kekurangan aktiviti fizikal dalam kalangan penduduk bagi membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang telah mengakibatkan kira-kira 8.5 juta kematian setiap tahun.
"Aktiviti fizikal dapat membantu mencegah penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan beberapa jenis kanser, yang terus menjadi pembunuh utama di rantau ini dan risiko penyakit yang teruk dan kematian akibat Covid-19 yang sedang melanda,” kata Pengarah Serantau Asia Timur WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh.
Iklan
Iklan
Pada masa ini, 15 peratus dewasa dan 74 peratus remaja berumur 11 hingga 17 tahun di rantau ini tidak melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti disarankan, katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, negara dan komuniti mesti menyediakan lebih banyak ruang serta peluang kepada masyarakat untuk lebih aktif secara fizikal terutamanya ketika sekatan pergerakan dan bekerja dari rumah menjadi antara penyumbang kepada gaya hidup tidak aktif.
Pendekatan kerjasama pelbagai sektor diperlukan untuk membolehkan persekitaran yang selamat untuk aktiviti fizikal diwujudkan.
Sejak 2014, WHO telah menyokong program aktiviti fizikal sebagai satu daripada langkah pencegahan utama dan terbaik untuk mencegah NCD.
Baru-baru ini juga WHO telah melancarkan Pelan Hala Tuju Serantau bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Global untuk Aktiviti Fizikal, bermatlamat memudahkan aktiviti itu khususnya untuk meningkatkan peratusan aktiviti fizikal menjelang 2025. - Bernama