PENGENDALI Leicester City, Brendan Rodgers mengakui tuah memihak The Foxes apabila kembali menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati saingan Liga Europa setelah mengatasi Legia Warsaw 3-1 di Stadium King Power.
Biarpun begitu Rodgers mengakui peluang itu hadir dengan cabaran besar apabila perlu berdepan pencabar terdekat Napoli bulan depan bagi perebutan slot pusingan 16 terbaik kejuaraan tersebut.
"Kami mempunyai tugas besar untuk dilakukan selepas ini, kami perlu memenangi perlawanan dan bermain dengan baik seperti dilakukan pada separuh masa pertama di sini.
"Melangkah ke perlawanan terakhir, jika saya berkata kami akan berada di puncak sebelum memulakan permainan, kami akan memastikan ia kekal di sana.
"Anda lihat sendiri kualiti para pesaing kami dalam kumpulan. kami mengawal permainan pada hari ini dan menamatkannya lebih awal. Objektif kami pada mulanya adalah untuk layak dan itu yang sedang para pemain usaha buktikan," kata Rodgers.
Skuad kendalian Brendan Rodgers itu mempunyai lapan mata daripada lima perlawanan, lebih satu daripada Spartak Moscow dan Napoli dan dua mata di hadapan Legia, dengan keempat-empat pasukan masih bersaing.
Napoli yang menewaskan Spartak Moscow 2-1 di Moscow akan menerima kunjungan Leicester manakala kelab Rusia itu melawat Legia pada 9 Disember.
Pada aksi di Stadium King itu, Power Patson Daka meletakkan The Foxes di depan pada minit ke-10 sebelum James Maddison menjadikan kedudukan 2-0, namun
Legia kembali memberikan saingan menerusi Filip Mladenovic pada minit ke-26 sebelum tandukan Wilfred Ndidi minit ke-33 memadam kebangkitan pelawat.
Anak buah Rodgers yang kini berada di kedudukan ke-12 liga domestik dengan 15 mata akan menjadi tuan rumah kepada Watford pada Ahad.