SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Lebih 3,600 penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari 2022.
Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian itu bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam dalam memastikan jentera pentadbiran negeri terus beroperasi walau dalam situasi serba mencabar.
"Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti kepada kerajaan dan rakyat, BKK ini akan diberikan kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran negeri,” katanya dalam Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada Jumaat.