KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa tempoh memegang jawatan tersebut merupakan episod paling sukar dalam sejarah perjalanan karier politik beliau.
Beliau berkata, perjalanan pada ketika itu melibatkan berdepan dengan cabaran krisis kesihatan, ekonomi serta tekanan politik yang datang dari pelbagai sudut.
"Saya diletakkan dalam suatu keadaan di mana saya perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar.
"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekalipun, terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang.
"Kalau boleh saya katakan, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik itu merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah politik saya," katanya ketika pelancaran buku biografi bergambar 'Abah Teguh Kita Bersama' di Hotel InterContinental di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, meskipun tempohnya berkhidmat sebagai Perdana Menteri singkat, namun ia memberikan kesan mendalam kepada kehidupan rakyat.
"Apapun, saya dan rakan-rakan dalam kabinet pada waktu itu telah cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka.
"Mereka nampaknya menghargai apa yang saya dan kerajaan pimpinan saya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau menegakkan prinsip kepimpinan seperti yang dianjurkan oleh agama Islam dalam perjuangannya iaitu 'Amar Ma'ruf Nahi Mungkar'.
Menurutnya, menjadi kewajipan untuk pemimpin mencegah kemungkaran dengan niat untuk memperbetulkan keadaan walaupun ia mungkin memberi kesan ke atas pangkat dan kedudukan.
"Bagi saya, itu tidak mengapa. Yang penting ialah kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita di sisi ALLAH SWT.
"Mungkin telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT atas sebab prinsip perjuangan yang saya tegakkan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain, saya telah diberikan amanah yang lebih besar untuk memimpin negara di waktu pandemik," menurutnya.