MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merekodkan harga sayur di Melaka meningkat hingga mencecah lebih separuh harga.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, tinjauan dan pemantauan yang dilakukan penguat kuasa mendapati beberapa jenis sayuran mengalami peningkatan harga sehingga 50 peratus berikutan bekalan makanan asas itu semakin berkurangan kerana faktor cuaca dan pengangkutan.
"Antara sayur meningkat harga ialah cili merah, brokoli, sawi dan kubis dengan anggaran kenaikan antara RM2 dan RM4 sekilogram.
"Didapati kenaikan harga jualan bagi sayuran di pasaran disebabkan faktor cuaca hujan pada musim tengkujuh dan cuaca sejuk melampau dialami oleh negara pengeluar (sayur import).
"Selain itu kenaikan kos pengangkutan menyumbang kepada kenaikan harga sayuran hingga mencecah 50 peratus," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga, pengguna mengeluh harga sayur naik
Barang keperluan lain dijangka naik sebulan lagi
Harga sayur naik hampir satu kali ganda di Johor Bahru
Kata beliau, di Melaka hampir 80 peratus bekalan sayur diperoleh dari negeri lain. Kebanyakan bekalan sayur dalam negara diperoleh dari Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, kenaikan harga itu juga susulan bekalan sayur import yang berkurangan sehingga 60 peratus dan pembukaan semula semua sektor perdagangan sejak Oktober lalu secara tidak langsung turut menyebabkan berlaku peningkatan permintaan terhadap bekalan sayuran secara mendadak.
Dalam perkembangan lain, Norena berkata, pihaknya turut menerima maklum mengenai isu kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa pemborong serta peniaga runcit gagal memperbaharui lesen menjual minyak masak hingga menyebabkan proses pengedaran minyak masak paket terganggu.
"KPDNHEP Melaka akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang lesen minyak masak pada minggu hadapan bagi memastikan gangguan pengedaran ini dapat diselesaikan,” katanya.