Pulau Pinang pulihkan sektor pelancongan terjejas akibat Covid-19

Iklan
Pelan pemulihan pelancongan diberi keutamaan dalam Bajet 2022 Pulau Pinang untuk merancakkan semula industri pelancongan di negeri tersebut. - Foto fail Bernama

GEORGETOWN - Pelan pemulihan pelancongan diberi keutamaan dalam Bajet 2022 Pulau Pinang untuk merancakkan semula industri pelancongan di negeri tersebut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akur bahawa sektor pelancongan adalah salah satu sektor terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Sektor pelancongan Pulau Pinang mempunyai daya saing kuat di arena antarabangsa.

"Kerajaan negeri akan memberikan perhatian kepada aktiviti promosi pelancongan untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara untuk memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan, seterusnya membantu memulihkan sektor pelancongan seperti sedia kala.

Iklan

"Bagi tujuan memulihkan sektor pelancongan ini, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta pada tahun 2022," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam Pulau Pinang dapat bonus setengah bulan gaji

Iklan

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, peruntukan terbabit merangkumi perbelanjaan bagi projek-projek pembangunan pelancongan, aktiviti promosi destinasi pelancongan, geran kepada anak syarikat negeri dan agensi yang berfungsi sebagai pemangkin pelancongan serta lain-lain tujuan yang berkaitan.

Tambah beliau, pada masa ini perancangan kerajaan negeri untuk sektor pelancongan bagi membangunkan ekonomi tempatan dengan menggalakkan perbelanjaan dalam negeri.

Beliau berkata, usaha ini adalah untuk menjenamakan dan memperkenalkan semula kempen ‘Experience Penang Year’ sebagai tema kempen pelancongan untuk tahun-tahun akan datang.

"Penang Global Tourism akan meneruskan usaha merangsang, mengukuhkan serta menarik perhatian pelancong ke Pulau Pinang untuk memulihkan industri pelancongan melalui kempen-kempen taktikal, pengiklanan dan media.

"Kami juga mahu mempromosikan Pulau Pinang secara dalam talian untuk mencapai sasaran lebih ramai dan berkesan melalui platform-platform media sosial sedia ada.

"Kempen-kempen yang telah dijalankan adalah seperti 7 World Wonders of Penang, Penang Then & Now, Penang Through Art dan Penang Product Feature," kata beliau lagi.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan daya perbelanjaan dan menjana pendapatan untuk pemain industri tempatan dan kerjasama dengan pemain pelancongan terkemuka untuk mendorong pelancongan domestik.

"Bagi menggandakan impak ekonomi pelancongan pada tahun 2022, kerajaan negeri merancang meneruskan penganjuran acara-acara pelancongan yang sinonim dengan Pulau Pinang yang terpaksa ditangguhkan sebelum ini serta mencadangkan acara-acara pelancongan baharu.

"Antara program dirancang adalah seperti Penang International Food Festival (PIFF) 2022, Penang Anime Matsuri (PAM) 2022, Penang International Container Art Festival (PICAF), Side Events 2022, International Base Jump 2022, Penang Bridge International Marathon, Penang International Dragon Boat Festival, Penang Bon Odori Festival, Miss Asia Global 2022, Program Nusantara (Festival Of The Malay World) dan Penang Music Festival," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melancarkan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030 pada 3 Mei 2021 untuk mendorong pertumbuhan sektor pelancongan negeri sehingga tahun 2030.

Beliau berkata, pelan induk itu menetapkan matlamat dalam membangunkan sektor pelancongan yang lestari serta mengukuhkan kedudukan kompetitif Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi utama.

"Bagi meningkatkan keyakinan pelancong, kerajaan negeri juga mempromosikan garis panduan serta langkah-langkah telah diambil dalam mewujudkan kawasan selamat daripada pandemik Covid-19," katanya.