Lelaki Bangladesh, wanita didakwa tipu jurutera ubah suai rumah

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang jurutera dengan memperdaya mangsa berhubung tawaran pakej ubah suai rumah pada Mei lalu.

Osman Goni, 37, dan Yong Yen You, 32, didakwa menipu Chan Kee Yew, 37, berhubung tawaran pakej ubah suai rumah berserta perabot yang tidak wujud berjumlah RM14,200 selain perkhidmatan mendapatkan penyewa rumah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang itu yang dimasukkan ke akaun bank Yong.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Perhentian, Sentul di sini antara 27 Mei dan 12 November lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Yong yang diwakili peguam Wayne Lim manakala Osman, yang tidak diwakili peguam, tidak ditawarkan jaminan kerana dia adalah warga asing.

Majistret Nadia Othman membenarkan Yong diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Iklan