AYER HITAM - Tindakan seorang anak merakam aksi si ibu mencari kelibat anak lelakinya sejurus tamat latihan polis di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapol) Negeri Sembilan tular di media sosial.
Rakaman berdurasi 45 saat nyata menyentuh hati netizen kerana beranggapan itu adalah momen terindah antara ibu dan anak.
Muhammad Azraai Abdullah, 24, berjaya menamatkan latihan polis selama beberapa bulan, telah membuatkan si ibu, Salmah Hamid, 60, menangis apabila melihat dirinya secara dekat.
Kakak Muhammad Azraai, Syafiqa, 28, bertindak merakam detik manis itu bagaimanapun tidak menyangka klip video itu tular di Twitter.
"Ketika di Pulapol, ibu mencari kelibat adik kerana semua pelatih seakan sama sahaja kerana menyarung pakaian berwarna putih.
"Saya telah bertemu adik lebih awal, jadi saya terus rakam saat itu dan adik pun tidak menghampiri ibu secara hadapan sebaliknya dari belakang, terus memeluk ibu.
"Awalnya ibu agak terkejut tetapi bila berpaling, ternampak wajah adik, ibu terus menangis sambil berpelukan," katanya kepada Sinar Harian.
Momen itu mungkin dianggap biasa oleh orang ramai tetapi tidak bagi keluarga Syafiqa terutama selepas ayah mereka Abdullah Mat Adan meninggal dunia 2017, akibat 'septic shock'.
"Ibu menangis bersebab... dia sebak kerana arwah ayah tidak sempat melihat adik tamat latihan polis.
"Namun hasrat arwah ayah tercapai jua, adik kini tamat latihan di Pulapol," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Azraai juga memiliki Diploma Kulinari dari Kolej Yayasan Pahang akan lapor diri di Balai Polis Kuala Penyu Sabah pada 19 Mac ini.
"Insya-ALLAH adik bongsu kami akan lapor diri di Sabah. Walaupun perlu 'berpisah' tetapi kami tetap bangga," katanya merupakan anak keempat dari lima beradik.
Syafiqa menetap di Kuantan Pahang, turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada netizen kerana tidak putus mendoakan kesejahteraan keluarganya.
Penularan klip video pendek itu kini meraih 24,000 ciapan dan 23,000 tanda suka dari netizen.
Netizen termasuk pelakon hebat, Adibah Noor turut mengucap tahniah dan menyifatkan Muhammad Azraai 'super precious' susulan tindakannya memeluk ibu tanpa segan silu di khalayak ramai.
Jatuh air mata pengkid sis. Today adik tamat latihan polis. Puas ibu cari adik, sebab semua hitam semua pakai sama ibu tak perasan adik dah lalu tepi dia.Adik ni anak bongsu dalam family sis and also tunggal lelaki. Terima Kasih dik tunaikan hasrat Arwah papa untuk jadi polis. pic.twitter.com/DawdXB1elP
—