SHAH ALAM - Kebanyakan yang melanggar lampu isyarat di Selangor adalah dalam kalangan penunggang motosikal yang majoritinya penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-hailing).
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Mohamad Hafiz Usman berkata, daripada data Ops Merah yang dijalankan bermula 8 Oktober sehingga 7 November lalu, sebanyak 561 kesalahan melibatkan p-hailing yang melanggar lampu isyarat.
"Jumlah ini jumlah yang banyak. Pada kita, kita anggap serius. Kita faham semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang terkesan.
"Kita tahu ramai yang kehilangan pekerjaan, ramai yang cuba membuat separuh masa atau sepenuh masa dengan p-hailing dan sebagainya.
"Tetapi tidak semestinya apa yang dilaksanakan untuk mencari rezeki itu dia kena melanggar undang-undang atau memberi masalah kepada orang lain," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Elak Nahas: Jalan Raya Bukan Pusara yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Program itu turut menampilkan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli selaku panelis dan dikendalikan Khairul Haffiz Abd Halim sebagai moderator manakala Qari, Amirahman Abas memperdengarkan bacaan Surah Al-Baqarah ayat 195, Surah Al-Hasyr ayat 9 dan Surah Al-Nisa ayat 59.
Mengulas lanjut, Mohamad Hafiz menambah, dalam tempoh sebulan Ops Merah itu dilaksanakan di Selangor, sebanyak 4,679 kesalahan dilakukan oleh orang ramai.
"Apabila kita keluarkan saman, kita akan memberi khidmat nasihat. Kita mengharapkan ini yang terakhir untuk dia melakukan kesalahan yang sama.
"Bukan apa, dia mencari rezeki tetapi dalam masa yang sama dia dikenakan saman dan itu menyusahkan diri dia juga," jelasnya.