Kes rogol meningkat di Kelantan

Iklan
Shafien (tengah) melakukan gimik pemberian kunci kepada pegawainya sebagai simbolik perasmian Unit Media PDRM Kelantan.

PASIR MAS - Kadar kes rogol di Kelantan meningkat sebanyak 8.1 peratus tahun ini melibatkan 96 kes yang dilaporkan berbanding 86 kes pada tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rata-rata kes berkenaan adalah melibatkan mangsa yang berumur bawah 18 tahun sama ada dengan teman lelaki atau pun suka sama suka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah berkenaan adalah yang dilaporkan kepada polis oleh ibu bapa serta pihak hospital.

"Boleh dikatakan semua daerah meningkat terutamanya Kota Bharu dan Bachok. Kita menyeru kepada semua pihak untuk melaporkan perkara ini kepada polis jika berlaku kes seperti ini.

Iklan

"Kesedaran ibu bapa sangat penting bagi memastikan kita dapat menghindari anak-anak daripada terjebak dengan perkara seperti ini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Shafien sebelum itu hadir pada Majlis Apresiasi Media bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.

Iklan

Turut diadakan perasmian Unit Media PDRM Kelantan dan penyampaian Sijil Penghargaan PDRM kepada media Kelantan.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, sehingga November tahun ini, kadar jenayah di Kelantan menurun sebanyak 21.2 peratus berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, indeks jenayah di Kelantan mencatatkan penurunan iaitu 1,652 kes berbanding 2,097 kes tahun lalu.

Sementara itu mengulas mengenai penubuhan Unit Media berkenaan, Shafien berkata, ia ditubuhkan untuk memberi pendedahan yang lebih tepat mengenai isu-isu semasa terutamanya yang sering ditularkan melalui laman-laman sosial.

Katanya, seramai lima anggota dan seorang pegawai ditugaskan untuk mengawal selia unit media berkenaan supaya masyarakat lebih faham dan jelas mengenai sesuatu isu terutamanya dalam dunia yang cukup pantas kini.