SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberi jaminan tiada kenaikan harga makanan di restoran yang berdaftar dengan persatuan itu sehingga akhir tahun ini.
Jaminan itu dibuat selepas berlaku masalah kenaikan harga bahan mentah di pasaran.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, harga lama masih dikekalkan kerana ada rakyat yang tertekan selepas mengharungi pelbagai cabaran akibat Covid-19.
"Kalau diikutkan harga barang-barang mentah dan keperluan lain memang naik tetapi Presma seboleh mungkin tidak akan menaikkan harga makanan dalam masa terdekat ini.
"Kami tidak akan rugi tetapi mungkin keuntungan kita akan menjadi berkurangan namun dalam keadaan pandemik semuanya masih dalam proses pemulihan.
"Kita juga akan hantar surat kepada persatuan. Kalau boleh tidak ada sebarang kenaikan harga makanan (oleh ahli persatuan), paling tidak sehingga hujung tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau mengakui kenaikan harga barang ketika ini amat ketara dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan kerana akan membebankan rakyat jika masalah itu berterusan.
"Banyak barang basah naik, sayur-sayuran, ayam, telur, daging dan segala benda (bahan mentah) semuanya naik kecuali hujan," katanya.
Presma kini mempunyai lebih 12,000 ahli membabitkan pengusaha restoran di seluruh negara yang menyediakan makanan halal.